KERAJAAN NEGERI SUMBANG RM 80,000 BANTU MANGSA RIBUT KG PASIR PUTIH

PASIR GUDANG, 10 Sept – Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan sumbangan berjumlah RM80,000 kepada mangsa yang terjejas dalam kejadian ribut di Kampung Pasir Putih, dekat sini semalam.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata sumbangan tersebut berupa bantuan kebajikan berjumlah RM1,000 bagi setiap rumah yang terlibat.

“Sejumlah RM500 adalah sumbangan daripada Pejabat Menteri Besar Johor, manakala sebahagian lagi adalah sumbangan Yayasan Pasir Gudang.

“Bantuan tersebut akan diberikan kepada 80 buah rumah terlibat yang menjejaskan seramai 360 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kampung tersebut dan menziarahi mangsa di Pusat Pemindahan Sementara, Dewan Kampung Pasir Putih, di sini hari ini.

Mohamed Khaled turut melahirkan rasa simpati atas bencana itu dan bersyukur tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada wakil rakyat, jabatan-jabatan terlibat serta penduduk kampung yang membantu mereka.

“Malah, pihak-pihak terlibat seperti Jabatan Agama dan Majlis Keselamatan Negara juga akan datang untuk membuat penilaian dan taksiran bagi memastikan bantuan yang akan diberi adalah selari dengan kerosakan yang berlaku,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang semalam, sejumlah 80 buah rumah musnah akibat ribut dan menjejaskan 360 orang.

Sehingga pagi tadi, empat keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara, manakala terdapat yang pulang semula ke rumah masing-masing dan sebahagiannya menumpang di rumah keluarga terdekat.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top