KOTA TINGGI, 14 Julai – Kerajaan Negeri Johor akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sebuah kilang kelapa sawit milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana menyebabkan pencemaran ammonia di Sungai Johor kelmarin.
Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata kilang kelapa sawit yang terletak di Ulu Remis, antara Kota Tinggi dan Kluang telah dikenalpasti menjadi punca gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Johor Bahru, Kulai dan Gelang Patah.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat termasuk GLC, anak syarikat berkaitan Kerajaan Negeri atau persendirian yang didapati cuai menyebabkan pencemaran alam sekitar.
“Kita telah ambil sampel air dari sungai itu dan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan lanjut.
“Keputusan dijangka dalam seminggu ini dan kita bercadang untuk menyaman syarikat itu kerana telah menyebabkan pencemaran dan mengganggu kesejahteraan penduduk sekitar,” kata beliau.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Johor dan Pelancaran Innocity Bandar Kledang YPJ di sini, hari ini. – JAUHAR