PASIR GUDANG, 9 JULAI – Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Permas merangkap Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled bin Nordin di sini berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 15,000 masyarakat daripada pelbagai kaum dari seluruh Pasir Gudang.
Rumah terbuka yang bermula jam 11 pagi dan berakhir 3 petang itu menyaksikan orang ramai daripada pelbagai kaum saling beramah mesra selain menikmati pelbagai juadah makanan serta minuman yang disediakan.
Berkonsepkan ‘Raikan Syawal dengan Muafakat’, majlis itu menyajikan pengunjung dengan pelbagai jenis hidangan serta persembahan.
Wakil rakyat yang disayangi ramai itu segak memakai baju berwarna kelabu dan isteri, bersama pemimpin UMNO Bahagian Pasir Gudang turut beramah mesra dengan rakyat pelbagai lapisan.
Rumah terbuka itu turut dimeriahkan dengan persembahan keroncong dari Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan artis dari Yayasan Warisan Johor.
Bagi pengunjung pula, program itu merupakan acara yang wajib dikunjungi setiap tahun oleh mereka.
Selain dapat berjumpa dengan Menteri Besar secara lebih dekat, juadah yang disediakan juga menarik minat pengunjung untuk hadir.
Menurut seorang pengunjung Salleh, 42, ini merupakan kali ketiga dia datang ke rumah terbuka ini.
“Menu yang paling saya suka adalah satay. Walaupun orang beratur panjang saya tetap akan tunggu,” katanya.
Kalaivani, 35, pula berkata, rumah terbuka itu wajib dikunjungi oleh dia sekeluarga setiap tahun.
“Saya juga dapat melihat dengan lebih dekat Menteri Besar yang sebelum ini hanya boleh dilihat di kaca televisyen,” katanya.
Bagi seorang pengunjung lain, Chua, 28, dia gembira kerana dapat bersama-sama dengan masyarakat melayu bagi meraikan sambutan hari raya dengan aman.