Terima Kasih Bangsa Johor

Hari ini genap 3 tahun saya menjalankan amanah sebagai Menteri Besar Johor. Saya mengambil kesempatan menyatakan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang sangat mendalam, yang sangat tulus, atas segala sokongan padu yang dinyatakan dengan tegas dan jelas, kepada kepimpinan saya.

Khususnya, saya dengan rendah diri ingin menjunjung kasih ke bawah DYMM Sultan Johor, atas sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap saya sebagai Menteri Besar Johor. Sesungguhnya perkenan dan dokongan dari DYMM Tuanku dan Istana adalah sesuatu yang amat besar maknanya. Saya harus menegaskan bahawa atas nasihat dan pandangan bernas DYMM Sultan jua, saya dan semua ahli pentadbiran dapat melaksanakan tugas dengan baik, sesuai amanah yang diberikan.

Sesungguhnya, hasil kerja berpasukan dan muafakat pelbagai pihak jualah, kita dapat mengemudi pentadbiran Kerajaan Johor dengan cekap dan selayaknya. Segala manfaat positif dan natijah yang elok ini bukan sesuatu yang hanya kita gubah dengan lenggok dan langgam bahasa yang indah-indah semata-mata. Tetapi adalah hasil dan kejayaan agenda pembangunan Johor yang terbukti dengan segala angka dan petunjuk yang jelas dan tidak boleh disangkal.

Justeru, saya menyambut segala pernyataan sokongan pelbagai pihak ini dengan rasa sangat rendah diri. Banyak lagi yg perlu dibuat. Kita mempunyai banyak matlamat yang tegas dan jelas dan yang utama ialah menjayakan gagasan Johor Berkemajuan. Saya menanam azam dan mengajak semua pihak, untuk bersama-sama memberikan yang terbaik kepada Negeri Johor dan seluruh rakyatnya.

Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin
Menteri Besar Johor
Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top