JOHOR BAHARU, 14 Mei — Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menyempurnakan majlis pelepasan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2016 di Dataran Bandaraya Johor Baharu di sini Sabtu.
Baginda yang memakai baju kemeja kelabu bercorak belang tiba kira-kira 8 pagi bersama Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan anakandanya Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman serta Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, barisan exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ismail Karim, Yang Dipertua Jumaah Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli serta pegawai-pegawai kerajaan.
Mohamed Khaled dalam ucapannya sebelum itu berkata KMJ sangat dinanti-nantikan semua pihak kerana menjelmakan hubungan erat istana bersama rakyat.
“Melalui kembara ini, rakyat di seluruh pelusuk negeri akan didekati, disantuni dan dilawati dengan penuh rasa takzim oleh Sultan Ibrahim sendiri dan istana dan raja pula mencemar duli berkunjung kepada rakyat.
Ia turut memperlihatkan keprihatinan dan rasa kasih istana kepada rakyat, sekaligus turut mempamer serta mempertahankan peradaban Bangsa Johor tersendiri,” kata beliau.
KMJ yang memasuki edisi ke-19 tahun ini berlainan berbanding tahun sebelumnya kerana baginda dan keluarga akan mengguna tiga buah trak Mack dalam jelajah sepanjang 842 kilometer itu.
Kembara pada hari pertama ini akan singgah di gerai Majlis Daerah Kulai sebelum bergerak ke Felda Inas (Kulai) dan berehat untuk makan tengah hari di Kampung Lukut, Kota Tinggi.
Ia kemudiannya meneruskan perjalanan ke Legaran Tanah Putih Kampung Sentosa Sedili (Kota Tinggi) serta Tenggaroh 6 (Mersing) dan menamatkan kembara di Taman Wawasan (Mersing).