SKIM GALAKAN BELIA PASIR GUDANG DILANCAR

Golongan belia khususnya di kawasan Pasir Gudang akan menerima manfaat melibatkan aktiviti kesukanan, setelah Skim Galakan Sukan Belia Pasir Gudang dilancarkan pada 30 April yang lalu.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata inisiatif di bawah Yayasan Pasir Gudang (YPG) itu adalah bagi menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti sukan.

“Sejumlah RM35,000 diperuntukkan bagi membiayai sukan futsal dan badminton, dengan setiap dari kumpulan belia akan memperoleh manfaat yang bernilai RM200.

“Sebanyak 175 kumpulan belia sekitar Pasir Gudang akan memperoleh skim ini bagi tujuan tersebut secara percuma,” katanya sempena Kejohanan Futsal Piala Pengerusi Yayasan Pasir Gudang di Dataran Al-Hamra, kelmarin.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Datuk Maulizan Bujang; Ketua Whip Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Abdullah Abdul Rahman; Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Azman Jaafar dan Ketua Puteri UMNO Pasir Gudang, Nur Ain Abdul Rahman.

Pelaksanaan skim tersebut mendapat kerjasama daripada lima pengusaha futsal dan badminton di Kenari Taman Scientex, Taman Cendana, Taman Air Biru, Kampung Cahaya Baru dan Jalan Ciku di Taman Kota Masai.

Menurut Mohamed Khaled MPPG melalui YPG, akan terus komited membantu menjalankan pelbagai aktiviti bagi membantu kumpulan sasarannya.

“Ini termasuklah melaksanakan program-program membabitkan golongan belia serta kumpulan masyarakat yang kurang berkemampuan,” katanya.

Tambah beliau, YPG juga merancang untuk mengadakan liga futsal setiap tahun di peringkat liga super dan perdana.

Terdahulu, berlangsung kejohanan futsal yang disertai oleh 300 belia sekitar Pasir Gudang, melibatkan 32 buah pasukan berdaftar dengan YPG.

Kejohanan itu berlangsung selama 24 jam bermula 30 April dan dijangka berakhir 1 Mei itu menawarkan hadiah berupa wang tunai bernilai RM2,000 untuk pemenang utama.

Pada majlis sama, turut berlangsung Majlis Penutup Kejohanan Sukan Muafakat UMNO Pasir Gudang.

“Kejohanan Sukan Muafakat ini melibatkan semua bahagian UMNO di seluruh negara sempena meraikan perayaan UMNO ke-70.

“Ia melibatkan sukan bola sepak, bola jaring, badminton, gusti lengan dan sukan rakyat yang diharap mampu mencungkil bakat-bakat handalan yang akan mewakili Johor di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Jauhar

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top