GELANG PATAH: Kerajaan memberi sumbangan sebanyak RM1 juta kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk pembangunan sukan bola sepak di negeri itu.
Sumbangan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Datuk Ismail Karim pada majlis perasmian projek Forest City.
Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan sebelum itu merasmikan empat projek mega iaitu projek landasan berkembar Gemas-Johor Bahru dan pembangunan hab minyak dan gas negara di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang.
“Beberapa projek besar untuk negeri Johor termasuk Forest City, HSR, Gemas-JB dan Pengerang…empat projek mega untuk negeri Johor ini, pasti akan jadi pemangkin kepada pertumbuhan negeri.”
“Kita perlu perancangan yang teliti dan bersifat menyeluruh agar ia dapat menyediakan hala tuju untuk memajukan negeri ini agar terus kekal sebagai sebuah negeri penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara,” kata Perdana Menteri.
Menurut statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Johor mencatatkan jumlah pelaburan domestik (DDI) yang diluluskan sebanyak RM27.96 bilion dalam sektor perkilangan, manakala jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan sebanyak RM3.14 bilion.
Najib yang juga Pengerusi Bersama IRDA, turut menyatakan rasa kagum terhadap pencapaian IRDA dalam menarik pelaburan ke Wilayah Iskandar Malaysia sejak dilancarkan. Ini akan menaikkan martabat Negeri Johor ke peringkat yang lebih tinggi.