JOHOR BAHRU – Sebanyak 150 Kedai Harga Patut Muafakat Johor bakal dibuka menjelang tahun 2017 sebagai usaha membantu rakyat bagi meringankan kos sara hidup masa kini.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata selain bertujuan untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup, ia juga untuk mengurangkan jurang ekonomi rakyat, terutamanya di Johor dan wilayah Iskandar Malaysia.
“Saya akan melancarkan Kedai Harga Patut yang pertama esok, yang bakal dibuka di Taman Kota Masai, Pasir Gudang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.Susulan dari itu, ia akan diikuti dengan pembukaan sebanyak 19 buah kedai sedemikian yang bakal beroperasi serentak di seluruh negeri ini.
Mohamed Khaled berkata Kedai Harga Patut Muafakat Johor yang diterajui oleh Koperasi Iskandar Malaysia Berhad (imCoop) itu, diuruskan sepenuhnya oleh tenaga pakar profesional dari bidang peruncitan dan pemborongan.
“Perniagaan tersebut dimiliki sepenuhnya oleh Koperasi, ditadbir urus secara koperasi dan ianya adalah inisiatif daripada anggota kepada anggota dan untuk anggota,” katanya.
Beliau berkata para pengguna juga berpeluang untuk mendaftar menjadi anggota koperasi bagi membolehkan mereka mendapat potongan harga tiga peratus untuk setiap pembelian.
Pengguna hanya perlu menunjukkan kad keanggotaan imCoop sewaktu membuat pembayaran di kaunter bayaran, tambahnya lagi. – Bernama