KOTA ISKANDAR:Menteri Besar Dato’ Mohamed Khaled Nordin berharap operasi pembenihan awan yang dijadualkan hujung bulan ini dapat menstabilkan paras air di Empangan Sungai Layang dan Sungai Lebam, sekaligus menyelesaikan isu bekalan air di Johor.
Beliau berkata operasi itu penting bagi memulihkan bekalan air yang meruncing, khususnya membabitkan hampir keseluruhan Pasir Gudang dan sebahagian daripada Bandaraya Johor Bahru.
“Saya berharap orang ramai yang terbabit dengan penjadualan bekalan air di kawasan-kawasan terbabit supaya bersabar dan sentiasa menggunakan bekalan air yang ada dengan berhemah.
“Diharapkan operasi pembenihan awan itu kelak membolehkan hujan turun di kawasan-kawasan tadahan air terbabit dan mengembalikan kestabilan paras air,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Beliau berkata sistem penjadualan bekalan air yang dijalankan oleh Syarikat Air Johor Sdn. Bhd. (SAJ) semenjak lebih sebulan yang lalu itu, telah dapat memanjangkan tempoh bekalan air di empangan-empangan terbabit.
Bekalan air itu bagaimanapun masih perlu dikawalselia pada tahap berjaga-jaga, ekoran taburan hujan yang tidak menentu serta ia tidak turun di kawasan-kawasan tadahan air.
Sumber bekalan air mentah di Sungai Johor juga perlu ditambah bagi memastikan kestabilan bekalan air.
Bagi tujuan itu, SAJ dijangka melaksanakan kerja-kerja pemindahan air dari Sungai Tiram ke Sungai Johor, 1 Oktober ini.
Kerajaan negeri juga sedang mengkaji langkah menghentikan buat sementara sistem penjadualan bekalan air selama tiga hari, iaitu pada 23, 24 dan 25 September ini.
Ia bagi membolehkan rakyat menyambut cuti Aidil Adha dan cuti persekolahan dengan lebih selesa.