Di kala harapan kita sangat besar kepada generasi muda pada hari ini, kita juga bimbang kerana generasi muda hari ini hidup dengan penuh keselesaan dan dibuai dengan obsessi material dan teknologi yang semakin canggih ketika ini sehingga menjadi generasi yang lupa akan perjalanan serta perjuangan bangsa. Pada mereka semuanya berada dalam keadaan baik sahaja dan masalah negara bukanlah tanggungjawab mereka dan tidak perlu difikirkan. Jika generasi muda prhatin dengan diri mereka sendiri, maka mereka juga harus peka terhadap kehendak bangsa dan tanah air mereka. Semangat patriotisme itu perlu wujud dan mereka harus mengambil berat tentang negara yang merupakan tanah air mereka tanpa melupakan akan sejarah negara yang kita sama-sama cintai ini.
Kejayaan negeri Johor pada masa kini adalah hasil daripada sistem nilai muafakat antara rakyatnya yang berbilang kaum serta bersedia menerima, mencorak dan mewarnai kepelbagaian itu sebagai satu sumber kekuatan bersama. Sepanjang lipatan sejarah negeri Johor sendiri, ia telah menyaksikan sumbangan kejayaan dari semua pihak tanpa mengenal erti perbezaan ras, kepercayaan agama, status mahu pun warna kulit. Inilah makna sebenar muafakat, di mana setiap anak-anak Johor tidak kira kepelbagaiannya sanggup berkorban dan bertolak ansur antara satu sama lain. Semangat permuafakatan yang telah sekian lama terjalin di kalangan rakyat itu haruslah sentiasa dibangun dan dipertahankan yang merupakan salah satu daripada faktor penting kepada kejayaan negeri Johor pada hari ini.
Kibarkanlah bendera negara kita di setiap tempat dengan rasa penuh bangga sebagai tanda sokongan kita di bulan Kemerdekaan.