Alhamdulilah, bersyukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan izin Nya kita dikurniakan kesempatan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sempena ketibaan 1 Syawal 1435 Hijrah.
Syawal adalah bulan kemenangan kepada kita semua selepas bersama-sama menjalani kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan. Bersyukurlah juga kerana kita dapat menyempurnakan ibadat puasa dalam suasana yang cukup aman dan sejahtera.
Saya ingin mengingatkan semua rakyat Johor yang pulang ke kampung halaman masing-masing untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga tersayang agar memandu dengan berhati-hati. Patuhilah segala peraturan jalan raya agar kita selamat pergi dan selamat pulang ke destinasi yang dituju. Insya-Allah.
Salam takziah kepada kaum keluarga dan sahabat handai mangsa-mangsa tragedi Pesawat MH17 yang terhempas di kawasan Timur Ukraine, mengakibatkan kesemua penumpang dan anak kapal terkorban. Semoga roh mereka ini ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.
Ketika kita bergembira dengan Idulfitri ini, dunia digegarkan dengan kekejaman manusia yang tidak bertamadun rejim Israel terhadap umat Islam di Palestin. Marilah sama-sama kita memberi sokongan dan bantuan sepenuhnya dengan apa cara kepada umat Islam di Palestin. Sewajarnya kita sama-sama bangkit bersatu hati tanpa membezakan latar belakang, ekonomi, miskin atau kaya, berbeza latar belakang fahaman atau politik. Berilah sokongan berterusan kepada umat Islam di Palestin dan jangan biarkan tangisan Gaza ini berpanjangan.
Marilah kita memulihkan dan mengukuhkan muafakat sesama kita dengan mengamalkan sikap bersederhana dalam apa jua tindakan, tidak melampau, saling bermaafan, mendoakan dan mengeratkan hubungan silaturrahim. Buanglah yang keruh ambillah yang jernih, mudah-mudahan dengan cara ini hidup kita sentiasa berada dalam keberkatan dan negeri kita mendapat Baldatun Thoyyibatun Wa Robbun Ghofur, sebuah negeri yang subur dan makmur, adil dan aman.
Akhir kata, saya dan seisi keluarga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada seluruh rakyat Johor.
MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI BESAR JOHOR
Merangkap Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang
Pengerusi Barisan Nasional Pasir Gudang