KUALA LUMPUR: UMNO Johor menyeru setiap parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) menyelesaikan masalah dalaman mereka bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-14.
Ketua UMNO Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan, berkata masalah dalaman itu seharusnya diatasi dengan segera supaya ia tidak menjadi liabiliti kepada UMNO.
Selain itu, katanya, kebangkitan parti komponen ini amat penting bagi meraih semula sokongan masyarakat Cina yang semakin berkurangan kepada BN.
“Perkara ini perlu diberi perhatian yang cukup serius oleh parti-parti gabungan dalam BN. Mereka harus memikul tanggungjawab untuk meneutralkan kembali kemelut yang berlaku ini.
“UMNO juga tidak mahu selepas PRU-14 nanti, parti-parti ini akan terus hilang dari persada politik tanahair hanya kerana tidak mendapat sokongan dari kaum mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan ucapan Dasar Presiden, di sini hari ini.
Dalam ucapannya itu, beliau berkata, kejayaan UMNO menambah kerusi dari 79 kepada 88 kerusi di parlimen sewajarnya dijadikan contoh kepada parti-parti dalam komponen Barisan Nasional.
“UMNO telah berjaya kerana keberaniannya untuk melakukan transformasi. Walaupun ianya kadang-kadang pahit, UMNO tetap melaksanakan bagi memenuhi tuntutan semasa dan keperluan rakyat,” katanya.
Katanya lagi, tidak mustahil BN mampu menang bergaya dengan majoriti dua pertiga pada PRU-14 sekiranya sokongan semua kaum dapat dikembalikan kepada BN.
Beliau yang juga Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, berkata setiap pemimpin seharusnya mengutamakan dan menjaga integriti, akhlak, perlakuan, perwatakan dan apa sahaja yang melibatkan tingkah laku.
Jelasnya, rakyat akan sentiasa menilai dan pemimpin merupakan orang pertama yang akan dinilai.
Justeru itu, katanya, pemimpin perlu menunjukkan contoh terbaik kepada rakyat kerana rakyat masa kini sudah bijak membuat penilaian.
“Apa sahaja yang boleh dipandang umum hendaklah menjadi keutamaan untuk dijaga. Ia bukan sahaja kepada pemimpin, tetapi ahli keluarga juga wajib menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat.
“Barulah rakyat dapat menerima kita sebagai pemimpin yang disegani dan parti kita kan terus dihormati oleh rakan dan juga lawan.