KUALA LUMPUR 4 Dis. – Pas digesa meyakinkan ahli parti itu bahawa perjuangan Islam dan orang Melayu hanya boleh dilaksanakan dengan semangat perpaduan daripada orang Melayu.
Wakil Wanita UMNO Johor, Haslinda Salleh berkata, Pas juga seharusnya sedar parti itu telah lama diperkotak-katikkan oleh pakatan pembangkang yang hanya mementingkan diri dan agenda parti, bukannya mendaulatkan agama dan bangsa.
“Pas perlu tahu bahawa Pengerusi DAP, Karpal Singh pernah menyatakan kepada Pas `langkah mayatnya dulu sebelum mahu melaksanakan hukum hudud’ dan terbaharu beliau telah mencadangkan Pas supaya membatalkan pendaftaran parti politik berasaskan agama.
“Wanita Johor menyeru Pas, bukalah mata, bukalah minda, jangan lagi jadi tunggangan dalam pakatan pembangkang. Marilah kita bersatu demi orang Melayu dan umat Islam,’’ katanya ketika menyokong ucapan dasar Ketua Wanita pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Dalam hubungan itu, Haslinda berkata, Wanita UMNO harus bersyukur dengan hasil kerjasama dan semangat perpaduan yang sentiasa diterapkan dalam Wanita UMNO adalah antara punca pembangkang gagal menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya lalu.
Kata beliau, bukti telah jelas terutama ketika Kongres Kebangsaan DAP lalu, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng pernah menyatakan `hendak hapuskan BN di Malaysia, mesti hancurkan wanita dahulu’.
“Itu menunjukkan pembangkang begitu tercabar dengan idea pergerakan yang terus membawa golongan wanita ke arah yang lebih berkesan dalam memberi khidmat pada masyarakat.
“Wanita sebagai tulang belakang dan orang kuat Melayu akan membuktikan kepada Guan Eng supaya jangan mimpi untuk mentadbir negara selagi darah dan nadi kami (Wanita) masih ada di parti keramat ini. Langkah mayat Wanita dahulu,” katanya.