Bukti UMNO pejuang agama- Pemuda UMNO Johor

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Ketegasan kepemimpinan UMNO yang mahu terus mengukuhkan syiar serta syariat Islam di negara ini membuktikan perjuangan parti itu kini berada di landasan tepat berteraskan ajaran Islam dan moral sebenar.

Wakil Pemuda UMNO Johor, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, buat pertama kalinya, Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin bersama-sama menyatakan komitmen akan terus mempertahan syiar serta syariat agama itu.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Johor menambah, UMNO perlu berani melakukan transformasi mengembalikan hala tuju agama dan moral dalam sistem pentadbirannya bukan sahaja di peringkat Pusat tetapi di negeri, bahagian dan cawangan.

“Pemuda UMNO Johor ingin mengusulkan tiga teras meliputi kompas agama dan moral dalam pentadbiran, ekonomi serta pendidikan. Antaranya mencadangkan supaya kerajaan mengambil langkah proaktif dalam memperkasa sekolah-sekolah agama kerajaan negeri.

“Selain itu, kami juga mengusulkan penubuhan Suruhanjaya Diraja Kedaulatan Islam di bawah Majlis Raja-Raja yang berfungsi memantau, memelihara, melindungi dan menguruskan hal ehwal agama Islam supaya tidak timbul kekeliruan. Dengan terpelihara agama dalam kehidupan sebagai pendinding kerohanian, maka dengan izin Allah akan terpelihara segala pekerjaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Khairul Anwar menyarankan sistem pematuhan syariah di setiap peringkat pentadbiran meliputi syarikat milik kerajaan (GLC), institusi pendidikan dan media diwujudkan.

Sementara itu, beliau dalam perbahasannya turut mencuit hati perwakilan selepas mendendangkan bait-bait lagu popular Sandiwara Cinta dengan gaya tersendiri bagi mengulas mengenai muzakarah antara Pas dan UMNO.

“Jujurlah kawan, UMNO tak mengapa…biar semua atas nama agama…jika nanti kita satu hati…ku terima dengan besar hati,” katanya.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top