..."/>

Titah Tuanku Buktikan UMNO Tidak Ada Kena Mengena Dengan Kejatuhan PH – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Setiausaha Agung UMNO merangkap Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat secara tidak langsung menjelaskan bahawa tuduhan UMNO punca kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tumbang adalah satu satu tuduhan tidak berasas sama sekali.

Jelas beliau, dalam titah tersebut, Tuanku telah menyebut dengan jelas bahawa Tuanku telah meminta agar Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak meletak jawatan namun Tun tetap dengan keputusannya.

“Tun yang bertegas mahu meletak jawatan yang akhirnya menyebabkan kerajaan pimpinan PH runtuh. Jadi, di mana salah UMNO? Dia (Tun) yang letak jawatan… siap suruh dia letak jawatan?

“Jadi, titah Tuanku hari ini telah menjelaskan perkara yang sebenar bahawa tuduhan mereka (PH) selama ini tidak berasas dan rakyat perlu tahu perkara ini,” ujar beliau Ketika menjadi tetamu jemputan dalam program kupasan khas istiadat Pembukaan Majlis Parlimen yang disiarkan secara langsung di facebook UMNO-Online, semalam.

Tambahnya, Tuanku turut bertitah agar ahli-ahli politik jangan mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu di kala rakyat sedang berhadapan dengan kesukaran akibat wabak COVID-19.

“Tun telah menghantar usul untuk undi tidak percaya kepada Perdana Menteri dan saya yakin ini adalah apa yang dimaksudkan dalam titah Tuanku agar tidak mengheret rakyat dalam permasalahan politik. Tindakan Tun ini sebenarnya boleh menyebabkan politik negara tidak stabil dan saya percaya akan ada lagi percubaan pada bulan Julai, Ogos, Oktober, November… selagi Dewan bersidang dan tentu mereka akan berusaha pelbagai kaedah untuk porak perandakan Dewan Rakyat.

“Dalam titah juga Tuanku sebut rakyat tidak perlu disogok dengan api permusuhan dan perpecahan, kena pamerkan kematangan dalam berpolitik. Ini termasuklah menjiwai keluh kesah rakyat, membela nasib rakyat, berpegang kepada prinsip keadilan, membudayakan politik yang bersih, tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa mahupun kedaulatan serta kedudukan Raja-Raja Melayu,” ujar beliau.

Ketika ditanya salah satu isu yang menjadi tular di Dewan Rakyat iaitu mengenai kedudukan Datuk Seri Azmin Ali di sebelah kanan Perdana Menteri, Ahmad menjelaskan, tidak ada apa yang perlu dipolitikkan kerana itu bukan bermakna Azmin adalah Timbalan Perdana Menteri.

“Jawatan Timbalan Perdana Menteri telah ditiadakan jadi siapa pun duduk di kerusi itu bukan bermakna dia Timbalan Perdana Menteri. Jawatan Perdana Menteri tidak ada… ‘full stop’ sebab jawatan itu ditiadakan. Jangan buat spekulasi.

“Dia sama taraf dengan Menteri Kanan yang lain… tidak ada beza,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Oleh: Azlina Rosdy

Top