15 Peserta Projek ERA Johor Terima Manfaat

PASIR GUDANG, 20 Ogos – Tanaman cendawan yang dilaksanakan di bawah Projek Ekonomi Rakyat (ERA) Johor di Tadika KEMAS Ketapang, Taman Rinting di sini mendapat sambutan yang menggalakkan, sekali gus membantu rakyat meningkatkan pendapatan isi rumah.

Projek itu disertai oleh 15 peserta sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan penyertaan masyarakat dalam kegiatan ekonomi.

Seorang peserta, Mariani Abd Rahim, 53, berkata pihaknya kini menerima banyak tempahan cendawan daripada pelanggan sehingga tidak dapat memenuhi permintaan pasaran sekarang.

“(Projek ini) sangat memberi manfaat kepada rakyat Johor. Saya berharap projek ini akan berkembang maju dan lebih banyak pondok cendawan (dibina) lagi,” katanya ditemui selepas lawatan Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin ke Projek ERA di Tadika KEMAS Ketapang, Taman Rinting di sini, hari ini.

Projek tanaman cendawan itu kini mempunyai sebanyak 1,800 bongkah di mana ia boleh dijual sehingga RM15 setiap kilogram.

Di bawah Projek ERA itu, beberapa projek juga telah dikenalpasti antaranya tanaman cili fertigasi, perusahaan madu kelulut dan penghasilan ais krim.

Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi, Mariani berkata, peserta menghadapi masalah untuk menanam cendawan selepas menerima sebanyak 300 bongkah pertama berikutan masih mempelajari selok-belok penanaman.

“Alhamdulillah, selepas menerima 1,200 bongkah kedua, kami berjaya mendapat hasil sebanyak 20 kilogram cendawan daripada 200 bongkah. Kami jual cendawan ini di sekeliling taman ini, kedai dan restoran.

“Buat permulaan, kami mendapat hasil jualan sebanyak RM300 sebelum ia dibahagikan dalam kalangan 15 peserta,” katanya sambil menjelaskan setiap bongkah mampu mengeluarkan hasil cendawan sehingga lapan kali.

Peserta lain, Zahsarah Abdullah, 41, pula menyifatkan Projek ERA sememangnya berjaya membantu mereka mencari pendapatan sampingan lain, sekali gus berupaya meningkatkan pendapatan keluarga.

Terdahulu, Mohamed Khaled meluangkan masa kira-kira setengah jam bagi meninjau perkembangan tanaman cendawan yang bermula pada pertengahan tahun ini di tapak terbabit.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top