Serangan ke atas pasukan UNIFIL merupakan satu penghinaan terhadap undang-undang antarabangsa. Ia melanggar prinsip asas perlindungan terhadap misi keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diterima pakai di seluruh dunia. Tindakan sewenang-wenangnya membahayakan nyawa anggota tentera yang bertugas untuk mengekalkan keamanan di rantau bergolak itu. Ia turut mengancam kredibiliti dan autoriti PBB sebagai badan pengawasan keselamatan global.
Di samping itu, serangan tersebut mengisyaratkan satu penolakan terbuka terhadap mandat UNIFIL. Pasukan ini ditugaskan untuk memantau gendangan senjata dan mengelakkan tercetusnya konflik baru di sempadan Lebanon-Israel. Namun, serangan berkenaan menjadikan UNIFIL sasaran dalam konflik yang sepatutnya mereka berusaha untuk menghentikannya. Ini merupakan satu pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diletakkan oleh komuniti antarabangsa terhadap misi penjagaan keamanan PBB.
Selain itu, tindakan tersebut mengundang keraguan terhadap keupayaan PBB untuk melindungi pegawainya sendiri. Jika anggota keamanan yang bertugas di bawah bendera PBB tidak terjamin keselamatannya, maka ia akan menjejaskan keberkesanan misi-misi serupa pada masa hadapan. Negara-negara anggota mungkin akan berfikir dua kali untuk menghantar pasukannya bagi berkhidmat dalam misi keamanan, memandangkan risiko yang terpaksa ditanggung.
Akhir sekali, serangan ini membuka ruang kepada negara-negara lain untuk bertindak sesuka hati terhadap pasukan PBB. Ia membuka pintu kepada pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa, sekali gus menjadikan kawasan konflik lebih tidak stabil dan berbahaya. Jika tiada tindakan tegas diambil, maka kewibawaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai penjamin keamanan global akan terjejas teruk.
Sebagai tindak balas terhadap serangan itu, Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Mohamad Khaled Nordin, mengeluarkan kenyataan tegas mengutuk tindakan tentera Israel. Beliau menegaskan bahawa penglibatan tentera Malaysia dalam UNIFIL adalah di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan tugas mereka dikawal oleh protokol yang ditetapkan. Menteri itu menggesa Israel menghormati mandat ini dan tidak menarik UNIFIL ke dalam konflik berterusan dengan Hezbollah.
Kementerian Pertahanan (MINDEF), dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri, mengambil langkah diplomatik untuk menangani situasi ini. Mereka berkomunikasi dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui saluran yang ditetapkan untuk memastikan keselamatan anggota perkhidmatan keamanan Malaysia. Pendekatan proaktif ini menunjukkan komitmen Malaysia terhadap obligasi antarabangsanya dan perlindungan warganya.
Disusun oleh,
Indraputra Hj Ibrahim
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pasir Gudang