Pengerusi Yayasan Pasir Gudang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, YB Tuan Haji Baharudin bin Mohamed Taib menghadiri majlis perlancaran Projek Pertanian Akuaponik di Laman Agro Harmoni 8, Taman Nusa Damai.
Projek pertanian Akuaponik ini telah memulakan operasinya pada 7 September 2023 dengan kos pembinaan keseluruhan yang mencapai RM 25,000 untuk 10 set sistem. Pembinaan projek ini telah berjaya diselesaikan pada 9 September 2023 dengan kerjasama daripada Persatuan Agro Harmoni, Taman Nusa Damai di bawah panduan Tuan Haji Hisammodin bin Abdul Halim.
Projek ini adalah salah satu inisiatif penting Yayasan Pasir Gudang untuk membantu melahirkan penduduk komuniti yang mahir dalam sistem pertanian moden. Sistem Akuaponik diharapkan dapat memberikan banyak manfaat kepada individu, masyarakat, dan persekitaran.
Salah satu aspek penting adalah menjana pendapatan melalui pertanian moden dimana projek ini diharapkan dapat melahirkan penduduk komuniti setempat untuk menghasilkan dan membekalkan keperluan bekalan makanan secara domestik, mengurangkan bergantungan kepada pasaran luar jika berlaku kekurangan bekalan makanan di negara kita.
Sistem pertanian Akuaponik adalah gabungan Akuakultur (ternakan ikan air tawar) dan Hidroponik (pertanian berasaskan air), yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh kedua-dua sistem secara serentak. Ia mampu meningkatkan produktiviti dalam pengeluaran hasil pertanian dan ternakan.
Projek Pertanian Akuaponik ini juga menarik perhatian seorang pakar dari International Islamic University Malaysia (IIUM), Prof. Madya Dr. Zaleha binti Kassim, seorang Pensyarah dari Institute of Planetary Survival for Sustainable Well-being, yang memberikan khidmat nasihat dan perkongsian ilmu mengenai sistem pertanian Akuaponik dalam majlis tersebut.
Majlis ini turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada Ahli Persatuan Kebun Komuniti Pasir Putih, Kebun Komuniti Air Biru, dan Kebun Komuniti Balau (Taman Rinting), menunjukkan sokongan dan minat komuniti dalam membangunkan sistem pertanian ini untuk kebaikan bersama.