Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Naib Presiden UMNO menghadiri Program Santai Bersama Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Felda Kerteh 6 di DUN Kemasik, Kemaman Terengganu.
Felda yang telah ditubuhkan sejak tahun 1956, terus membuktikan komitmen dan sumbangannya dalam memajukan kehidupan masyarakat peneroka. Dalam ucapannya beliau telah menekankan dua isu penting.
Pertama, beliau menjelaskan bahawa keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini tidak akan memberi impak besar kepada kedudukan kerajaan pusat. Walau bagaimanapun, jika hasil PRN ini berpihak kepada parti Kerajaan Perpaduan, ianya akan memberi impak besar terhadap pembangunan negeri termasuk komuniti Felda.
Kedua, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membantah pandangan yang mengatakan kerjasama antara BN dan PH akan membahayakan kedudukan Melayu dan Islam. Beliau membuktikan bahawa pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan termasuklah dalam mengatasi kemiskinan terutamanya di kalangan orang Melayu. Pandangan ini, menurut beliau, hanyalah cubaan pihak pembangkang untuk menutup kelemahan mereka dalam memenuhi keperluan rakyat.
Beliau turut berharap agar pengundi di DUN Kemasik memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN), Sdr. Khairi Afiq Mohd Yusof, untuk mewakili mereka dalam PRN kali ini. Beliau yakin bahawa kehadiran Sdr. Khairi Afiq Mohd Yusof akan memberikan sumbangan berharga dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat Felda dan negeri secara keseluruhannya terutama golongan belia di kawasan DUN Kemasik.