Pasir Gudang, 22 Julai 2023 – YB Baharudin Mohamed Taib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas yang merangkap Pengerusi Yayasan Pasir Gudang, telah menghadiri serta meyampaian wang pendahuluan PTPTN bagi bakal pelajar Universiti Awam dan Swasta yang tinggal di Kawasan Pasir Gudang.
Seramai 807 pelajar di kawasan tersebut telah mengemukakan permohonan dan layak menerima wang pendahuluan sebanyak RM 1,500 setiap satu. Bantuan ini diberikan untuk mengurangkan beban perbelanjaan awal semasa melangkah ke alam pengajian tinggi, serta memberi sokongan kewangan dalam memenuhi keperluan pengajian.
Sejak pengenalan Wang Pendahuluan PTPTN (WPP) pada tahun 1999 sehingga 31 Mei 2023, lebih sejuta pelajar telah mendapat manfaat daripada inisiatif ini. Setakat ini, terdapat 969,046 pelajar yang telah menerima manfaat dengan jumlah peruntukan keseluruhan mencapai RM1.43 bilion. WPP merupakan langkah positif dan berkesan dalam menyediakan akses kepada pendidikan tinggi kepada golongan yang memerlukan, dan membantu mereka mengatasi cabaran kewangan yang mungkin timbul semasa menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi.
Dalam ucapan beliau semasa majlis tersebut, YB Baharudin Mohamed Taib menyatakan bahawa pihak PTPTN sentiasa berusaha untuk membantu ibu bapa dan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA (Institusi Pengajian Tinggi Awam), dan pada masa yang sama, komited untuk memastikan bahawa tiada lagi pelajar yang tercicir daripada keperluan untuk meneruskan pengajian tinggi disebabkan masalah kewangan.
Majlis penyampaian wang pendahuluan PTPTN ini merupakan contoh nyata tentang komitmen kerajaan dalam menyokong sektor pendidikan dan memastikan akses kepada pendidikan tinggi adalah lebih mudah dan inklusif bagi semua rakyat Malaysia.
Majlis turut dihadiri Saudara Noor Azleen bin Ambros, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudan, Pegawai PTPTN Negeri Johor, serta kepimpinan masyarakat.