Teliti Segala Laporan Media Dan Blog, Jangan Terpengaruh Dengan Fitnah – Shaik Hussein

BAGAN, 3 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin meminta semua pihak agar meneliti segala laporan media dibuat termasuklah daripada laman blog agar tidak terpengaruh dengan sebarang fitnah yang sengaja ditimbulkan terutamanya melibatkan isu agama.

Beliau berkata demikian susulan laporan sebuah laman blog yang melaporkan berita mengenai tindakan seorang pemuda bukan Melayu mengarahkan sebuah masjid di Pulau Pinang untuk memperlahankan azan.

Susulan itu, beliau menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat agar pihak PDRM menyiasat kesahihan laporan media ini.

“Wakil UMNO Bahagian Bagan yang terdiri dari Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan, Setiausaha UMNO Bahagian Bagan, Naib Ketua UMNO Bahagian Bagan, Ketua Puteri UMNO Bahagian Bagan dan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan telah membuat satu laporan polis terhadap isu ini.

“Laporan ini dibuat agar Pihak PDRM dapat menyiasat kesahihan laporan blog dibawah dan mengambil tindakan yang sewajarnya jika ianya didapati benar dan jika tidak, tindakan sewajarnya terhadap pihak yang sengaja provokasi isu ini perlu diambil jika ianya tidak seperti yang ditulis dalam blog berkaitan,” katanya.

Tegasnya, hasil daripada maklumat pengerusi dan jawatankuasa masjid tersebut, isunya tidaklah seperti dilaporkan oleh blog berkenaan dan ada pihak yang sengaja memainkannya demi kepentingan politik.

“Hasil maklumat dari pengerusi dan jawatankuasa masjid ini, ianya tidaklah seperti ditulis di dalam blog berkenaan dan ada pihak yang sengaja memainkan isu ini bagi kepentingan politik.

“Jika siasatan didapati sedemikian maka perlu diambil tindakan jika ianya benar atau tidak benar. Hairan juga apabila tiada media nasional utama yang melaporkan perkara ini selain dari blog yg banyak melaporkan hanya perkara negatif.

“…yang boleh menceritakan perkara sebenar hanyalah pengerusi dan jawatankuasa masjid berkenaan,” katanya lagi.

Beliau turut meminta agar mana-mana pihak khususnya parti politik tidak menggunakan agama untuk kepentingan parti.

“Apabila mereka sendiri tidak membuat sebarang laporan polis, maka terbukti ada isu lain yang berlaku. Selain maklumat rasmi, jangan kita menerima tanpa usul periksa. Berhati-hati dengan juara fitnah.

“Sudah sudahlah menggunakan agama bagi kepentingan parti. Asas kewujudan parti adalah untuk mempertahankan agama, bukan sebaliknya,” katanya lagi. – UMNO Online

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top