PUTRAJAYA, 9 Mei – Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) bertanggungjawab memastikan hala tuju, keputusan dan pertimbangan yang dibuat oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) adalah selari dengan kepentingan nasional, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menyifatkan tanggungjawab LPU sebagai penjaga amanah dan kepentingan nasional, Mohamed Khaled berkata pelantikan ahli lembaga itu dibuat berdasarkan pengalaman, kepakaran dan pelbagai kemahiran yang dimiliki
“Adalah menjadi tanggungjawab kalian untuk melawan dan membanteras apa jua yang membelakangkan kepentingan kebangsaan,” katanya ketika berucap pada Program Suai Tugas Strategik LPU Awam dan melancarkan Modul Vice Chancellor Executive Coaching (VCEC) di sini hari ini.
Katanya LPU perlu memikul tanggungjawab dan memainkan peranan penting dalam membina semula kepercayaan kepada sistem pendidikan negara.
“Begitu juga dalam membantu melonjakkan potensi dan prestij universiti. Ia adalah tugas kebangsaan. Apabila IPTA maju, terkehadapan serta berprestasi, secara langsung ia akan menguntungkan negara dan memanfaatkan tanah air,” katanya.
Beliau berkata LPU juga perlu menjadi instrumen semak dan imbang bagi memastikan pentadbiran dan kepimpinan universiti tidak tergelincir atau tersasar dalam membuat dasar serta keputusan besar.
Mohamad Khaled turut optimis LPU dapat membantu universiti untuk berfungsi bukan sekadar sebagai kilang pencetak ijazah, malah menjadi pusat mendewasakan pelajar, pusat rujukan negara dan pusat penyelesaian kepada isu masyarakat. – BERNAMA