UMNO Terus Berperanan Kuasa Pengimbang, Bergerak Senafas Dengan Rakyat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO akan terus berperanan sebagai kuasa pengimbang yang sentiasa bergerak senafas dengan rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian menerusi laman facebooknya berkaitan Pembukaan Dewan Rakyat Penggal Keempat Parlimen dengan
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua pihak fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19.

“Seperti yang pernah saya nyatakan UMNO akan terus menjadi mata, telinga dan suara rakyat dalam menyentuh soal-soal kesejahteraan mereka dan kemakmuran negara.

“Saya berpandangan pendirian ini selari dengan titah Tuanku agar semua pihak fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 demi kemaslahatan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menjunjung kasih serta mengambil maklum titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga.

“Jelas dan nyata Seri Paduka Baginda sangat cakna serta prihatin terhadap nasib rakyat dan masa depan negara. Seri Paduka Baginda berjiwa rakyat dan menyelami keadaan sebenar rakyat.
Daulat Tuanku!”

Dilaporkan, dalam Isitiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Ke-14 2021 di Parlimen Isnin lalu, Baginda menitahkan kerajaan yang baharu dibentuk supaya segera melipat gandakan usaha untuk memerangi COVID-19 dan membawa rakyat keluar daripada ancaman pandemik berkenaan. – UMNO Online

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top