KUALA LUMPUR, 29 Julai – Pemuda UMNO Malaysia hari ini melahirkan kebimbangan berkaitan jangkaan jangkitan kes COVID-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan dan berpandangan perlunya langkah radikal berhubung soal terbabit.
Menerusi perkongsian di Facebook, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata sejujurnya pihaknya amat bimbang dan resah sejak membaca pendedahan Ketua Pengarah Kesihatan yang menjangkakan angka kes COVID-19 bakal meningkat sehingga 24,000 menjelang September.
Menurut beliau angka tersebut realistik memandangkan ketika inipun kes-kes sudah mencecah 17,000 sehari, namun untuk turun sampai 1,000 sahaja bulan Oktober, pihaknya sedikit curiga.
“Persoalannua apakah kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan ini menggambarkan kesediaan Kerajaan bertolak-ansur dengan angka 24,000 ini?
“Apakah Kerajaan mempunyai cukup persediaan dengan segala sumber dan kelengkapan hospital atau pusat rawatan bagi menghadapi angka 24,000 ini,” katanya.
Beliau seterusnya mempersoalkan apakah Kerajaan juga rela dan bersedia untuk menerima angka kematian yang tentunya akan turut meningkat seiring dengan angka yang mencanak naik.
Bagi Pemuda UMNO, tambah Asyraf setiap nyawa amat berharga dan kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan angka kematian yang mencanak setiap hari.
“Cukup meruntun jiwa dan emosi setiap kali mendengar kematian ahli keluarga, rakan dan taulan. ( Pagi ini pun menerima berita kematian Ketua Pemuda UMNO Cawangan di Masjid Tanah manakala isteri dan dua anak yang masih kecil turut positif).
“Sebab itulah, perlu ada pendekatan radikal yang tidak boleh lagi bersifat ‘trial and error’ dan separuh masak sebagaimana pengalaman PKP 2.0, PKP 3.0, Total Lockdown yang bersifat ‘ala kadar’ dengan rakyat dipaksa berkurung sedangkan industri terus beroperasi” ujarnya.
Beliau seterusnya mengharapkan barisan pemimpin UMNO dapat memanfaatkan sesi Parlimen pada hari ini untuk mencari penyelesaian demi untuk rakyat.- UMNO Online