- Hujan lebat yang berlaku semalam (Isnin, 12 Julai 2021) sekali lagi membawa musibah besar kepada ramai penduduk.
- Banyak kawasan yang terkesan akibat banjir kilat terbaharu yang berlaku petang semalam, termasuklah di beberapa perkampungan tradisi di Masai dan Kampung Sungai Rinting, selain beberapa kawasan perumahan di Taman Mawar dan Taman Rinting.
- Aliran trafik di Lebuhraya Pasir Gudang dan jalan-jalan utama sekitar Pasir Gudang turut terjejas teruk akibat banjir kilat yang berlaku.
- Masalah ini berpunca daripada kejadian hujan lebat yang mana Sungai Masai tidak lagi mampu menampung kapasiti air yang terlalu banyak, sehingga menyebabkan banjir kilat dan limpahan air berlaku di kawasan-kawasan terkesan.
- Faktor geografi semulajadi yang mana Masai berada pada kedudukan paling rendah permukaan memburukkan lagi masalah yang melanda.
- Ini bukan kali pertama kejadian tersebut berlaku dan ianya merupakan masalah berulang dan makin kerap terjadi ketika musim hujan.
- Untuk itu, sudah sampai masa dan ketika kerja-kerja tebatan banjir dilaksanakan pada kadar segera di Sungai Masai yang menjadi punca kepada masalah ini kerap berlaku.
- Sungai Masai perlu didalamkan serta dilebarkan bagi menampung kapasiti air yang banyak dan melimpah ketika hujan lebat.
- Selain itu, pembinaan komponen-komponen tebatan banjir seperti pintu air, pam air dan benteng tebatan banjir juga perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan kejadian terus berulang.
- Terdapat juga keperluan untuk meluruskan beberapa lengkok Sungai Masai bagi memastikan kesempurnaan aliran air ketika hujan lebat berlaku.
- Semua langkah dan usaha penyelesaian ini memerlukan kerjasama dan keprihatinan semua jabatan dan agensi kerajaan terlibat.
- Ini termasuklah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pejabat Daerah Johor Bahru dan pihak berkuasa tempatan (PBT) Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) bagi mencari jalan keluar dan menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh dan pada kadar segera.
NOOR AZLEEN AMBROS
Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pasir Gudang
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang
13 Julai 2021