Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang merangkap Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin menjunjung serta menyokong penuh titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Menurutnya demokrasi perlu dimanfaatkan sebagai semak dan imbang bagi memenangi wabak ini dan tidak seharusnya ditewaskan kerana sesuatu pandemik.
Beliau juga berharap agar Perdana Menteri dan seluruh kabinet Kerajaan mengambil serius perkara ini dan menterjemahkannya ke dalam bentuk tindakan segara.
Dalam kenyataan menerusi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan lapan lagi Raja Melayu mengambil maklum bahawa angka jangkitan Covid-19 harian membesar walaupun negara bawah darurat.
Dalam kenyataan itu, Raja-Raja Melayu berpendirian mekanisma semak dan imbang antara cabang eksekutif, legislatif dan cabang kehakiman perlu dihormati bagi menjamin urus tadbir yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat.