UMNO Terus Bertahan Walau Diacu “Pisau, Pen Dan Buku Cek”

1. Sejak UMNO ditakdirkan hilang kuasa pada Mei 2018, pelbagai usaha cuba dibuat untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO dengan menggunakan pelbagai cara dari luar dan dalam.

2. Bermula seawal 2018, apabila usaha untuk mengharamkan UMNO dengan mengeksploitasi 16 orang bekas ahli atas alasan UMNO melanggar Perlembagaannya kerana membuat penangguhan pemilihan parti, sedangkan ROS sendiri meluluskan permohonan tersebut.

3. Tidak cukup dengan tindakan mahkamah terhadap parti, diugut pula pimpinan UMNO untuk membubarkan parti jika tidak mahu didakwa dan diambil tindakan dalam pelbagai bentuk.

4. Hakikatnya, ramai pemimpin-pemimpin UMNO diugut, ditekan dan digasak dengan menggunakan pelbagai agensi-agensi di bawah Kerajaan PH waktu itu.

5. Ahli yang punya ketahanan terus kekal setia mempertahankan parti biarpun menjadi lilin membakar diri. Namun, tidak kurang juga yang cuak, gelabah dan tidak tahan diuji, lantas keluar meninggalkan parti.

6. Tergamak pula menikam parti yang pernah mengangkat dan meletakkan mereka di posisi tertinggi lagi dihormati. Ironinya, mereka yang terpalit ini tiba-tiba terus disucikan dan tidak lagi kedengaran khabar sebarang tindakan mahupun pendakwaan.

7. Usaha melemahkan UMNO masih berterusan sehinggalah ke saat ini termasuk menggunakan pendekatan ‘pisau, pen dan buku cek’ bagi memecah-belahkan UMNO melalui juak-juak dalaman sendiri mengikut perencanaan ‘scheme of thing’.

8. Namun, Alhamdulillah UMNO masih dipelihara Allah kerana terus mampu bertahan dan tetap utuh hingga saat ini. Kekuatan dan keutuhan sebenar UMNO terletak kepada keikhlasan AKAR UMBI!

9. Akar umbi yang merupakan rangkaian 3.5 juta ahli UMNO di 191 Bahagian dan lebih 22,000 cawangan seluruh Malaysia yang ikhlas dan terus setia berjuang mempertahankan wadah biarpun ada di kalangan pemimpin yang mudah gelabah dan lari meninggalkan parti.

10. Ya, jangan salahkan PARTI UMNO! Tetapi angkara segelintir pemimpin dan ahli yang lupa diri, lupa daratan dan lupa akar perjuangan akhirnya Tuhan takdirkan UMNO diuji hilang kuasa.

11. Setiap yang berlaku ada hikmahnya! Kini setiap warga pejuang UMNO tidak boleh lagi melakukan kesilapan yang sama…

Jangan angkuh, jangan sombong untuk terus muhasabah, berubah dan lakukan koreksi!
Jangan menari mengikut lagu dendangan musuh yang sentiasa khianat mendengki!
Jangan biarkan kita mudah dipermain dan dimanipulasi!
Utamakan kesatuan dan solidariti!
Jangan cepat percaya dengan cerita-cerita sensasi yang hanya mencetuskan prasangka dan persepsi!
Pertahankan tradisi dan institusi parti!
InsyaAllah jika terus pegang kuat kepada tali dan berpandu teguh pada suluhan wahyu Ilahi, berpaksikan mantra keramat BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT, UMNO mampu BANGKIT KEMBALI!

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top