PASIR GUDANG, 23 Sept – Kerajaan Negeri akan melancarkan skim sewa beli untuk Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) pada Ekspo Johor Berkemajuan yang akan berlangsung mulai 6 hingga 14 Oktober depan di Iskandar Puteri.
Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya kini memiliki beberapa rumah untuk skim sewa beli berkenaan dan kerajaan akan membeli 190 unit rumah daripada Johor Corporation (JCorp) untuk tujuan itu.
Beliau berkata ia termasuk Rumah Komuniti Pakej A dan Pakej B.
“Tawaran akan dibuat pada masa itu dan ada syarat kelayakan seperti belum memiliki rumah, jumlah pendapatan atau belum bersedia beli rumah kerana mempunyai anak ramai.
“Kerajaan Negeri tidak boleh tawarkan rumah yang mahal kerana kita terpaksa beli dulu sebelum ia ditawarkan kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci RMMJ Taman Scientex Pasir Gudang di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abd Samad dan Pengarah Eksekutif Scientex Quatari Sdn Bhd, Alex Khaw.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kawasan tumpuan skim sewa beli itu bergantung kepada kekosongan projek perumahan, namun fokus adalah di selatan negeri ini.
Katanya, ia berikutan ramai penduduk yang berhijrah di selatan Johor masih tidak mempunyai rumah.
“Jika rumah dekat dengan tempat bekerja, kita dapat membantu mereka mengurangkan kos pengangkutan dan duit lebih boleh dibelanjakan untuk keluarga.
“Dalam Bajet Johor 2017, saya pernah umumkan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk skim sewa beli ini,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, Kerajaan Negeri sememangnya akan campur tangan terhadap perkara berkaitan perumahan dan pihaknya sangat fokus serta komited terhadap perkara terbabit.
“Bagaimanapun, masih ada pihak menuduh rumah mampu milik di Johor adalah sangat mahal dan kita telah melakukan yang terbaik.
“Jika harga rumah terlalu rendah, tiada siapa yang hendak bina,” katanya sambil menjelaskan kerajaan turut memberi subsidi kepada tanah bagi rumah yang disediakan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Dalam pada itu, beliau membidas pembangkang yang sering mendakwa rumah mampu milik Johor lebih mahal dan meminta mereka membandingkannya dengan Selangor dan Pulau Pinang terlebih dulu.
Terdahulu, Mohamed Khaled menyampaikan replika kunci rumah mampu milik kepada sebahagian daripada 701 pembeli rumah mampu milik di Taman Scientex Pasir Gudang.
Daripada jumlah itu, seramai 477 pembeli menerima replika kunci untuk Rumah Komuniti Pakej B (PKJB) yang berharga RM80,000, manakala 224 pembeli menerima kunci RMMJ yang berharga RM150,000.