JOHOR BAHRU, 10 Mac — Parti pembangkang terutamanya di Johor dilihat cuba meraih populariti dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bertujuan untuk mengelirukan rakyat berkaitan satu siasatan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai isu yang berhubung kait dengan hartanah di negeri Johor, di sini.
Penolong Setiausaha Pemuda Umno Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros berkata mereka dilihat cuba mengambil kesempatan untuk menonjol kerana gagal menemui isu dan kelemahan pihak kerajaan negeri yang mereka boleh juarai di mata rakyat dan pengundi.
“Mereka terpaksa bergantung harap semata-mata kepada satu kes siasatan yang berjaya dibongkar oleh pihak SPRM di Johor, sebagai isu politik yang boleh mereka ketengahkan untuk manfaat dan kepentingan politik kuasa mereka.
“Masyarakat harus tahu bahawa isu serta dakwaan yang berkaitan masih di peringkat siasatan pihak SPRM, dalam mereka melengkapkan Standard Prosedur Operasi siasatan mereka. Masih belum ada apa-apa pendakwaan di peringkat mahkahmah berlaku, mahupun mana-mana individu diperintah oleh mahkamah untuk membela diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh ADUN Bukit Batu, Johor Jimmy Puah, dari parti PKR.
Jimmy menerusi kenyataan media pada Selasa, 7 Mac 2017 kononnya cuba membandingkan jumlah hasil kutipan sumbangan Tabung Hartanah Bumiputera Negeri Johor dengan jumlah kelulusan pelepasan unit-unit hartanah Bumiputera di Johor sejak 2013 hingga kini.
Perbandingan tersebut juga dibuat dengan membandingkan kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melalui media, dengan jawapan bertulis Dewan Negeri yang beliau terima juga mengenainya pada bulan April 2016 daripada Exco Kerajaan Negeri bertanggung jawab.
“Ternyata, teori ilmu hisab yang Jimmy Puah gunakan untuk meraih populariti dalam isu ini amat dengkel. Anggapan yang digunakan sebagai asas perkiraan beliau juga sangatlah cetek.
“Ini kerana, apabila kita berbicara mengenai soal hartanah, kita perlu mengambil kira pelbagai lagi jenis hartanah termasuklah lot-lot komersil, kondominum servis, unit strata dan tapak-tapak industri, dan bukan semata-mata jenis kediaman bertanah seperti yang dilakukan oleh Jimmy Puah,” jelasnya.
Menurut Azleen lagi, apabila Jimmy Puah dengan sengaja menghadkan definisi hartanah hanya kepada jenis kediaman bertanah, maka sudah tentu jumlah unit hartanah Bumiputera yang mendapat pelepasan dan juga jumlah kutipan sumbangan tabung amanah adalah tidak munasabah serta tidak masuk akal.
Tambahnya lagi, Jimmy juga mengambil jalan pintas dengan membuat kiraan purata dan sengaja mengenepikan hakikat bahawa perkiraan sumbangan 7.5 peratus (seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri bagi setiap unit lot Bumiputera yang dilepaskan) adalah berasakan peratusan harga tawaran pasaran sebenar unit-unit berkenaan.
“Maknanya, lebih tinggi harga pasaran unit hartanah berkenaan, maka lebih banyak sumbangan yang kerajaan negeri boleh kutip untuk dimasukkan ke dalam tabung hartanah Bumiputera. Perkiraan secara purata bukanlah cara pengiraan sebenar dan tidak tepat untuk kajian kes seperti ini.
“Hakikatnya, Jimmy Puah dengan sengaja dan begitu selektif dalam perkiraan beliau mengenai isu ini, ditambah pula dengan anggapan ilmu hisab beliau yang begitu ‘simplistic’ bertujuan untuk mengelirukan pemahaman rakyat dan saya anggap berniat jahat,” kata Azleen.