SUMBANGAN 1% YAYASAN PBT RINGANKAN BEBAN

PASIR GUDANG, 14 Jan – Sumbangan satu peratus daripada setiap Yayasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini mampu membantu meringankan beban keluarga yang memerlukan terutamanya dari keluarga berpendapatan rendah.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata sumbangan satu peratus daripada pemotongan hasil cukai itu antara lain adalah bagi menggerakkan program-program pembasmian kemiskinan bandar.

“Kejayaan pelaksanaan inisiatif itu dapat dilihat apabila pihak Yayasan Pasir Gudang berjaya melaksanakan pelbagai program bagi tujuan tersebut.

“Malah, pihak Yayasan turut membantu menyelaraskan segala sumbangan atau derma yang diterima daripada pelbagai pihak di bawah satu tabung khas untuk disalurkan kepada kumpulan sasar yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Sumbangan Sempena Tahun Baru Cina di Dewan Serbaguna Taman Scientex, di sini hari ini.

Yang turut hadir Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Hasrin Kamal Hashim dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Dato’ Normala Abdul Samad.

Pada majlis tersebut, seramai 140 orang penduduk terdiri daripada masyarakat kaum Tiong Hua, serta 20 orang Melayu, 20 orang India dan 20 orang Sabah dan Sarawak, masing-masing menerima sumbangan sebagai persediaan menyambut Tahun Baru Cina yang bakal disambut pada tahun ini.

“Sebanyak RM40,000 diperuntukkan secara keseluruhannya, yang mana setiap penerima akan menerima RM100 dalam bentuk tunai dan RM100 lagi dalam bentuk barangan keperluan harian.

“Bantuan dan sumbangan ini merupakan usaha untuk memastikan mereka yang kurang berkemampuan, kelainan upaya mahupun yang sakit kronik dapat turut bersama-sama meraikan Tahun Baru Cina dengan perasaan gembira,” tambah Mohamed Khaled. -JAUHAR

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top