Hakikat yang perlu ditelan oleh pemimpin & ahli UMNO pada hari ini adalah – kepimpinan, tauladan& kehadiran UMNO dalam gerakan massa makin jauh dari hati & ingatan orang Melayu kebanyakan.
Banyak faktor yang menyumbang kepada berlakunya perkara ini. Namun yang pasti, inilah lumrah bagi mana-mana institusi politik seusia UMNO.
Formula UMNO selama ini yang mahu orang Melayu bergantung harap & berterima kasih kepadanya hanya kerana UMNO terlibat dalam kemerdekaan Malaysia; jaminan perlindungan hak-hak orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan; agenda ketuanan Melayu; & penubuhan segala agensi & institusi untuk memperjuangkan nasib & masa depan orang Melayu & Bumiputera – tidak lagi mampu menjadi daya penarik sokongan orang Melayu kepada UMNO.
Kalau sekalipun semua di atas masih berkesan, UMNO tidak mungkin berdepan dengan krisis keyakinan dalam kalangan orang Melayu & rakyat seperti yang kita lihat pada hari ini.
Untuk itu, keperluan kepada suatu ‘perjanjian’ baharu antara UMNO dengan orang Melayu perlu dibuat.
Dan sebelum ‘perjanjian’ tersebut dibuat, UMNO perlu terlebih dahulu membuat ‘tawaran-tawaran’ baharu kepada orang Melayu majoriti, & perjanjian ini akan dianggap termetrai apabila keputusan PRU-14 diumumkan.
‘Tawaran-tawaran’ yang perlu terkandung dalam ‘perjanjian’ ini pula mestilah berasaskan ke arah menangani cabaran orang Melayu hari ini & strategi mempersiapkan generasi bangsa Melayu yang maju serta mampu berdepan dengan cabaran abad ke-21 pada masa akan datang.
Bak seperti peniaga, ‘tawaran-tawaran’ ini haruslah berlandaskan kepada citarasa& kehendak ‘trend’ zaman kini. Zaman dimana ekonominya dipacu oleh gelombang digital.
Sifar lahiriah tawarannya mestilah untuk merapatkan lagi jurang atau kesenjangan serta pembukaan peluang sama rata untuk semua. Dalam soal pendidikan pula, mestilah tertumpu kepada usaha untuk memastikan penyediaan pendidikan yang paling berkualiti untuk orang Melayu.
Agenda Islam juga terus dimartabatkan syiar & keagungannya di Malaysia.
Melayu & Bumiputera akan terus kekal sejahtera tinggal di dalam bandar serta kawasan-kawasan pertumbuhan strategik baharu, kerana kemampuan &kebolehupayaan mereka untuk bersaing.
Melayu juga mampu mengisi jutaan peluang pekerjaan yang bermutu yang menawarkan pendapatan tinggi, lantaran mereka mempunyai merit, kelayakan, ilmu & pengetahuan. Dan bukan mengisinya atas asas kuota.
Amalan & budaya politik UMNO pada masa akan datang adalah yang mampu meraikan perbezaan pendapat & pandangan. Pemimpin UMNO pula dipilih & diangkat berdasarkan sistem yang berpandukan merit & kelayakan. Rasuah & politik wang adalah perkara paling aneh yang disebut-sebut.
Agenda UMNO pula adalah untuk kemaslahatan bangsa Melayu sejagat.
Hubungan antara kaum terus menjadi kekuatan kemajuan Malaysia. Tidak ada syak wasangka antara kita sesama bangsa Malaysia.
Inilah bentuk-bentuk ‘tawaran’ yang UMNO perlu berikan kepada orang Melayu yang akhirnya menjadi sebuah ‘perjanjian’ yang perlu UMNO terjemahkan apabila ianya termetrai.
Berlapang dadalah kerana UMNO ini bukan milik pemimpin, bukan juga milik ahli-ahlinya. UMNO ini milik orang Melayu dan kepada merekalah segala jasa & budi perlu kita curahkan.
Noor Azleen Bin Ambros, Penolong Setiausaha
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang