Dakwaan 700,000 warga China tidak masuk akal

MOHE - Khaled Nordin

JOHOR BAHRU – Dakwaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa lebih 700,000 warga China akan dibawa masuk ke Forest City adalah tidak masuk akal, kata Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, ia hanya hasutan untuk menakut-nakutkan rakyat Johor dan mahu melihat Johor gagal dalam mencapai cita-citanya.

Mohamed Khaled menarik perhatian bahawa projek Forest City memakan masa kira-kira 30 tahun, dan antara perkara yang menjadi tarikan pelaburan ke Johor adalah kos perniagaan dan sara hidup yang rendah berbanding Singapura dan Kuala Lumpur, misalnya.

“Lepas 30 tahun mungkin akan ada 700,000 warga asing di Johor tetapi mustahil semuanya adalah warga China,” katanya kepada pemberita selepas menutup Sukan Muafakat 2016 Kawasan Rukun Tetangga Zon Air Biru, di sini hari ini.

Dr Mahathir sebelum ini mendakwa warga China berkenaan akan diberi kad pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Mohamed Khaled seterusnya berkata beliau yakin rakyat Johor akan berfikir secara logik, dan mengingatkan mereka agar tidak mudah terikut-ikut dengan dakyah yang tidak masuk akal.

Menurutnya, Dr Mahathir tidak memahami cara Johor, dan tidak mahu melihat Johor berkembang maju.

“Kita di Johor tidak mahu sekadar menjadi ‘laman belakang’ Singapura, kita mahu membangun atas usaha kita, kemampuan kita, kekuatan dan kedudukan Johor itu sendiri,” tegas menteri besar itu.

Katanya, Forest City merangkumi pembangunan kawasan perdagangan, pelancongan, perhotelan, kediaman, perkhidmatan dan sebagainya.

Forest City, dengan keluasan lebih 1,386.05 hektar, dibina atas empat pulau buatan manusia di Iskandar Malaysia.

“Pemasaran bagi kediaman di Forest City tidak tertumpu di negara China sahaja malah di Australia, Timur Tengah dan pelbagai negara lain dan yang ditawarkan hanya 10,000 unit,” katanya.

Beliau berkata pembelian hartanah oleh warga China dilakukan atas dasar pelaburan selain memenuhi keperluan mendapatkan tempat tinggal sementara terutama pada musim sejuk.

“Dulu semasa Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) jadi perdana menteri, Pak Lah wujudkan pembangunan mengikut wilayah…ini adalah idea dari Pak Lah dan ia tidak boleh dinafikan, semasa zaman Tun Dr Mahathir perkara ini langsung tidak ada,” kata Mohamed Khaled. – Bernama

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top