320 RMMJ BAKAL DIBINA DI BANDAR BARU MAJIDEE

JOHOR BAHRU, 1 September – Johor Corporation (JCorp) terus komited untuk bersama-sama Kerajaan Negeri dalam memastikan lebih banyak rumah mampu milik dapat dibina di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata komitmen JCorp itu membuktikan kejayaan mereka dalam menterjemahkan dasar dan aspirasi Kerajaan Negeri.

“Disamping penekanan kepada pembinaan projek-projek berimpak tinggi, Kerajaan Negeri tidak sama sekali meminggirkan pembangunan bersifat sosial demi memastikan keseimbangan dan kesejahteraan hidup rakyat.

“Malah, perkara ini telah menjadi dasar Kerajaan Negeri dalam usaha membantu memperbanyakkan pembinaan dan penyediaan rumah mampu milik Johor (RMMJ),”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Pembangunan Bandar Baru Majidee dan Pembinaan Rumah Mampu Milik Johor, di Tapak Projek Bandar Baru Majidee, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim, dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Latif Bandi.

Kamaruzzaman dalam ucapannya berkata, kerjasama erat JCorp dan Kerajaan Negeri telah mewujudkan sinergi yang sangat positif dan membolehkan momentum pembangunan terus dipertingkatkan dengan tumpuan khusus kepada pembangunan pro-rakyat.

“Johor Corporation selaku agen pembangunan negeri akan terus mempergiat usaha membantu Kerajaan Negeri melaksanakan projek pembangunan kediaman dan komersil bagi merancakkan lagi ekonomi Johor.

“Ini bertepatan dengan objektif, visi dan misi berkesinambungan JCorp untuk membina kediaman, membela perjuangan, mencipta kesejahteraan hidup dan mencapai kemakmuran negara dan bangsa.”

Mohamed Khaled turut memuji langkah JCorp yang bersetuju untuk membangunkan 320 unit RMMJ tersebut di atas tanah berstatus komersil.

“Proses pengambil alihan tanah untuk dijadikan tapak perumahan RMMJ akan membantu menyeimbangkan taburan dan pola kependudukan kaum di kawasan bandar.

“Malah tindakan tersebut juga dilihat sebagai suatu pengorbanan dengan tidak meletakkan kepentingan pembangunan di atas tanah komersil semata-mata dan pada masa sama perlu menanggung kos pembinaan yang tinggi,” katanya.

Projek Pembangunan Bandar Baru Majidee akan dibangunkan di atas tanah seluas 38 ekar yang mana 6.8 ekar tanah diperuntukkan khas untuk pembangunan RMMJ oleh Bandar Baru Majidee Development Sdn Bhd.

Sejumlah 320 unit RMMJ bakal dibina di situ yang terdiri daripada dua blok, masing-masing mempunyai 12 tingkat kediaman dan dijual pada harga RM150,000 dengan keluasan 1,000 kaki persegi.

Manakala bakinya pula adalah pembinaan hartanah kediaman dan komersil yang melibatkan kerjasama TH Tebrau Land Sdn Bhd yang akan dibangunkan sebagai Majidee Solaris.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top