TAMAN SCIENTEX, 11 JUN – Seramai 244 orang dari kaum melayu, 23 orang dari kaum cina, 22 orang dari kaum india dan 11 orang dari kaum sabah dan sarawak di dalam zon Majlis Perbandaran Pasir Gudang menerima bantuan sempena Sumbangan Ramadhan dan Bantuan Hari Raya disini.
Bantuan berjumlah RM 200 seorang itu berupa barang keperluan dapur sebanyak RM 100 dan selebihnya berupa wang tunai. Bantuan disampaikan oleh YAB Dato’ Mohamed Khaled Nordin, ADUN Permas merangkap Menteri Besar Johor.
“Yayasan memainkan peranan yang sangat penting kerana terdapat banyak pihak yang ingin membantu tetapi kadang kala mereka mengalami kekangan masa untuk melakukan program-program tanggungjawab sosial ataupun mereka tidak tahu saluran menyampaikan sumbangan, jadi di sinilah peranan yayasan.
“Contohnya seperti Yayasan Pasir Gudang (YPG), kita tidak hanya menjalankan program bantuan keperluan asas tetapi juga menjalankan aktiviti yang mengupayakan masyarakat melalui program seperti latihan kemahiran, pendidikan, dan rekreasi yang tertumpu kepada golongan belia supaya mereka tidak tercebur ke dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah”
“Pada tahun ini jumlah sumbangan daripada pihak industri kepada YPG adalah sebanyak RM1.4 juta, tahun 2015 kita terima sebanyak RM1.5 juta dimana sebanyak 50% daripada jumlah yang diterima wajib dibelanjakan bagi tujuan bantuan kepada masyarakat. Ini merupakan syarat penubuhan sesebuah yayasan.” Katanya.