DATARAN AL HAMRA – Ramai pengunjung memanfaatkan cuti hujung minggu mereka dengan memeriahkan Festival Hari Pekerja Pasir Gudang yang diadakan di Dataran Al Hamra Majlis Perbandaran Pasir Gudang anjuran Parlimen Pasir Gudang serta Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) yang bermula semalam hingga ahad ini. Pelbagai program dan aktiviti menarik menanti para pengunjung pada setiap hari selama 3 hari tersebut.
Selain menempatkan hampir 50 gerai jualan dan pameran, festival yang memasuki hari kedua itu turut mengadakan aktiviti seperti pertandingan karaoke, bowling, bola jaring dan pelbagai aktiviti lain.
Menurut seorang pengunjung, Mohd Aziz, 25, penganjuran festival ini dapat memenuhi aktiviti pengunjung pada hujung minggu.
Katanya, penganjuran kali ini lebih meriah dengan aktiviti sebelumnya bagi menarik minat lebih ramai pengunjung ke Pasir Gudang.
“Karnival Hari Pekerja dirai dengan penganjuran festival yang meriah. Usaha yang dilakukan oleh Parlimen Pasir Gudang ini cukup unik dan punyai tarikan yang tersendiri,” katanya.
Majlis tersebut juga dirasmikan oleh YAB Dato’ Mohamed Khaled bin Nordin, ADUN kawasan Permas merangkap Menteri Besar Johor. Beliau menegaskan bahawa masyarakat sentiasa mengiktiraf pekerja yg terdapat di Pasir Gudang.
“Bila bercakap pasal Pasir Gudang, ia menjurus pada kepelbagaian bidang pekerjaan. Pelbagai latar belakang dan sumbangan idea untuk memajukan Pasir Gudang kerana disini merupakan tumpuan utama sektor perindustrian.”
Beliau juga berharap kepelbagaian bidang pekerjaan yang terdapat di sini juga dapat menyumbang bakat dan idea mereka dalam memakmurkan masyarakat Pasir Gudang.
“Kita harus sentiasa memperbaiki diri serta mencari jalan untuk penambahbaikan sebagai seorang pekerja. Saya dan YB parlimen juga bekerja. Cuma kami bekerja untuk rakyat.”
“Peranan dan sumbangan kita amat besar dalam menyumbang kepada “bandar industri sejahtera” untuk menunjukkan diri kita sebagai warga pekerja dan sebahagian dari masyarakat di Pasir Gudang.” Katanya