TAMAN MAWAR, 16 MAC 2016- Dalam perjumpaan bersama ketua-ketua cawangan di dalam PDM Taman Mawar semalam, 16 Mac 2016, 8.00 malam, Dato’ Khaled Nordin, Menteri Besar Johor merangkap Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang berkata bahawa parti UMNO mesti kekal menjadi pilihan utama orang Melayu. Walaupun dalam keadaan kemelut politik yang melanda kini, beliau menyeru agar semua ahli parti bersepakat dalam prinsip perjuangan yang tidak boleh digantikan oleh mana-mana parti.
“Kita perlu bersifat inklusif akan keperluan rakyat dan memenuhi kehendak utama masyarakat bagi menyelesaikan masalah rakyat bermula dari peringkat akar umbi.” Katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa peranan NGO dalam usaha mendekati dan menyelami permasalahan rakyat merupakan pendekatan terkini demi mewujudkan persekitaran yang harmoni.
Tambah lagi, beliau menyatakan bahawa negeri Johor mempunyai masa depan yang baik dalam menjayakan ekonomi negara. Antaranya melalui usaha pewujudan Rumah Mampu Milik bermula dari harga RM40k, RM80k dan RM150k yang hanya ada di Johor. Selain itu, usaha mewujudkan Taman Perbadanan Islam di kawasan bandar sebagai usaha mengekalkan tanah rezab orang Melayu.
Oleh yang demikian, beliau menyeru agar kita semua mempertahankan negeri Johor kerana hanya parti UMNO yang memberi keadilan melalui kesaksamaan dan bukannya kesamarataan.
Selaras dengan peribahasa Inggeris, ‘politics is an art’, kita harus bijak menangani dan mengimbangi dalam permasalahan yang melanda supaya Johor terus memperoleh keuntungan dan manfaat. Beliau menegaskan bahawa UMNO Johor bersedia menjadi jambatan yang mendamaikan dan menyatukan dalam kemelut sedia ada. ‘Jangan kerana seekor nyamuk, satu kelambu habis dibakar.’