PESANAN PENGERUSI PERHUBUNGAN UMNO JOHOR

Pesanan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang.

Saya mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh perwakilan UMNO dari Johor.

Sesungguhnya setiap perhimpunan adalah peluang kita untuk mencari pencerahan bagi mengukuhkan UMNO.

Secara tradisi, UMNO Johor adalah pendukung gerakan yang progresif dan sederhana. Kita telah sekian lama memainkan peranan membina dan mengukuhkan parti melalui pemikiran dan manhaj yang berkemajuan.

Lalu marilah kita, dengan cara paling berhikmah dan berhemah, mengajak semua pihak, mencari jalan muafakat untuk UMNO yang lebih baik dan berpadu. UMNO yang kembali kepada Agenda Melayu.

Marilah kita mengajak semua ahli parti, meneroka denai penyelesaian yang inklusif dan terbaik kepada segala kemelut bangsa. Agar UMNO terus menjadi instrumen paling penting untuk memajukan bangsa.

Utarakan segala pandangan dengan cara yang paling sopan tetapi tegas. Luahkan segala yang terbuku dengan adab paling terpuji dengan hanya satu tujuan. Iaitu memastikan parti menjadi lebih kuat dan kembali diyakini. Tanpa perlu berpecah. Tanpa perlu menimbulkan pergeseran yang memusnahkan.

Hormatilah pemimpin kita selayaknya. Bantu dan nasihati barisan pemimpin kita dengan peringatan dan pandangan yang ikhlas, muktabar dan kefasihan yang memecah kebuntuan.

Justeru, saya menyeru semua perwakilan Johor agar mengutamakan disiplin dan mempamerkan tata susila yang disenangi semasa berlangsungnya perhimpunan.

Jangan sekali-kali melakukan tindakan yang mengikut emosi, yang akan merosakkan parti – wadah perjuangan bangsa Melayu yang paling penting.

Akhir sekali, marilah kita berdoa agar Allah SWT menunjukkan jalan paling benar, paling baik dan paling diredhaiNya. Sesungguhnya, segala usaha yang baik dalam kita mencari pencerahan ini tidak akan berhasil tanpa pertolongan dariNya.

Selamat bersidang!

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top