JOHOR BAHRU – Sebanyak RM4 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi membiayai projek pemindahan bekalan air mentah ke Empangan Sungai Layang, Masai dan Empangan Sungai Lebam, Kota Tinggi yang terjejas ekoran penurunan paras air di kedua-dua empangan tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kedua-dua projek itu dijangka dapat memberikan impak positif dalam usaha pemulihan paras air di empangan terlibat yang membekalkan air terawat ke sebahagian bandar raya ini dan Pasir Gudang.
Menurutnya, pemindahan itu dijangka mampu menambah bekalan air mentah sebanyak 30 juta liter sehari (MLD) di kedua-dua empangan berkenaan.
“Kerja-kerja kejuruteraan mekanikal dan sivil telahpun bermula dan kita menjangkakan kedua-dua projek berkenaan dapat memulakan proses pemindahan air mentah selewat-lewatnya akhir Disember ini.
“Pembiayaan peruntukan itu disalurkan menerusi Syarikat Air Johor Holdings Sdn. Bhd. (SAJH),” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Beliau berkata, projek pemindahan air mentah berkapasiti 10 hingga 15 MLD dari Sungai Papan, Kota Tinggi ke Empangan Lebam melibatkan pemasangan paip sepanjang 15.3 kilometer, manakala 15 MLD bekalan air mentah dari Sungai Tiram ke Empangan Sungai Layang pula memerlukan rangkaian paip sejauh lima kilometer.
“Kerajaan negeri akur dengan kesulitan dialami penduduk di kawasan terjejas sejak pengenalan sistem bekalan air berjadual, namun kita tidak berdiam diri, malah terus berusaha mencari jalan penyelesaian jangka pendek dan panjang dalam usaha memulihkan bekalan air ke tahap seperti sediakala,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri juga akan meneruskan usaha lain yang sudah dijalankan sebelum ini termasuk proses pembenihan awan yang masih dilaksanakan sejak dimulakan pada 12 Oktober lalu.
Menurutnya, Badan Kawal Selia Air Johor (Bakaj) dengan kerjasama SAJH akan terus melakukan pemantauan khusus terhadap perkembangan paras air di empangan yang terjejas kerana tahap taburan hujan di kawasan itu tidak menunjukkan sebarang kesan positif terhadap paras di kedua-dua empangan terlibat.
Pada masa sama, beliau turut berharap para pakar tempatan dapat membantu memberikan cadangan dan maklum balas dalam mengenal pasti kaedah terbaik bagi meningkatkan bekalan air, sekali gus menyelesaikan kemelut bekalan asas berkenaan kepada penduduk.- UTUSAN MALAYSIA