HARAPAN JOHOR UNTUK BAJET 2016

JOHOR BARU: Menjelang pengumuman Bajet 2016, Johor tidak ketinggalan dalam menggariskan harapan untuk menjadi negeri yang seimbang pembangunannya selain kebajikan rakyat dijaga.

Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin menyatakan harapan untuk mengutamakan peningkatan bekalan air serta kemudahan pengangkutan awam.

Jelasnya, isu bekalan air adalah penting dan ia memerlukan pelan jangka masa panjang untuk memastikan bekalan air terus kekal stabil.

Selain itu, usaha meningkatkan kemudahan pengangkutan awam juga perlu diberi perhatian dalam menggalakkan orang awam menggunakannya.

Justeru, tindakan yang sewajarnya perlu diambil.

“Pembangunan kawasan-kawasan tumpuan seperti Pengerang, Iskandar Malaysia melalui IRDA, Mersing menerusi ECR (East Coast Region) saya percaya memang ada peruntukan yang kita berikan.

“Tetapi dua perkara pokok: air, harap-harap Kerajaan Persekutuan timbangkan dengan sewajarnya permintaan kita untuk mula mengadakan pelan jangka sama panjang untuk mengekalkan bekalan air.

“Yang kedua adalah kita perlu meningkatkan pengangkutan awam untuk menggalakkan penggunaan. Kita perlu perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Rendah Karbon Asia di sini.

Di persidangan tersebut, satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara tiga pihak dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diadakan sempena Mesyuarat Tahunan Low Carbon Asia Network 2015 yang dihadiri 200 orang peserta antarabangsa dan tempatan.

Di bawah MoU tersebut, UTM menjadi perintis universiti pertama di Malaysia membina loji janakuasa biogas daripada sisa makanan – hasil jalinan kerjasama dengan Ronser Bio-Tech Bhd, Gait Rungkai Sdn Bhd dan IRDA atau Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar.

http://www.astroawani.com/berita-bisnes/peruntukan-untuk-bekalan-air-pengangkutan-awam-harapan-johor-untuk-bajet2016-67922

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top