KENYATAAN KETUA PEMUDA UMNO BAHAGIAN PASIR GUDANG MENGENAI KEPUTUSAN PEMUDA MCA PASIR GUDANG

Img-20150920-Wa0026

KENYATAAN
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN PASIR GUDANG
MENGENAI KEPUTUSAN PEMUDA MCA PASIR GUDANG UNTUK MEMUTUSKAN HUBUNGAN DENGAN PERDANA MENTERI MALAYSIA
 
 
1.    Saya ingin merujuk kepada pendirian Pemuda MCA Bahagian Pasir Gudang melalui kenyataan media yang dibuat pada Ahad, 20hb September 2015.
 
2.    Pemuda MCA Pasir Gudang telah membuat ketetapan untuk memutuskan sebarang hubungan mereka dengan Perdana Menteri Malaysia serta tidak akan menyokong sebarang program atau acara yang dihadiri Perdana Menteri lantaran pendirian Perdana Menteri kepada Himpunan Melayu Bersatu baru-baru ini.
 
3.    Sesungguhnya, saya amat kesal dan sangat kecewa dengan ketetapan yang dibuat oleh Pemuda MCA Pasir Gudang yang disifatkan sebagai TIDAK MATANG, TERDESAK, MELULU serta LANGSUNG TIDAK MENGGAMBARKAN SEMANGAT SETIAKAWAN SEBENAR parti-parti komponen dalam Barisan Nasional.
 
4.    Lebih-lebih lagi kenyataan tersebut dibuat setelah kita baru sahaja menyambut sambutan kemerdekaan negara dan hari penubuhan Malaysia baru-baru ini.
 
5.    Ini kerana MCA harus melihat perkara yang lebih besar mengenai perkara ini selain daripada isu perkauman. Ini selari dengan titah DYMM Tuanku Sultan Johor berkenaan perkara ini yang tidak mahu membangkitkan isu dan sentimen perkauman. Jelas, Pemuda MCA sendiri gagal memahami titah DYMM Tuanku Sultan dan cuba membangkitkan kebencian antara kaum dalam kalangan bangsa Johor.
 
6.    Pemuda UMNO Pasir Gudang berpandangan bahawa perkara berkenaan Himpunan Melayu Bersatu adalah berkenaan soal kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum yang akan datang.
 
7.    Melihat kepada senario dan arus sokongan orang Cina semasa, BN amat memerlukan sokongan Melayu sebagai galang ganti kepada ketidak upayaan MCA mendapat dan mengembalikan sokongan kaum Cina kepada BN. Dan adalah menjadi hak kepada mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan selari dengan peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia, asalkan ianya mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
 
8.    Pemuda MCA juga harus sedar bahawa sekarang adalah masa untuk bersatu padu dan bukan memainkan isu perkauman yang sememangnya merupakan senjata yang sengaja digunakan oleh pembangkang bagi memecah belahkan kesatuan, keharmonian dan keutuhan parti-parti komponen dalam perikatan Barisan Nasional. Janganlah mudah terperangkap dengan taktik dan strategi pembangkang untuk melemahkan lagi persefahaman parti pelbagai bangsa dalam BN.
 
9.    Kesepaduan dan persefahaman yang sedia terjalin dalam Barisan Nasional setelah sekian lama haruslah terus dipertahan dan janganlah sesekali dilupakan. Belum terlambat untuk Pemuda MCA melihat semula kejayaan dan pelbagai pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara bangsa pada hari ini hasil daripada perpaduan dan semangat toleransi semua kaum dalam Malaysia.
 
 
Tuan Haji Azman Ja’afar
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang merangkap
Pengerusi Pemuda Barisan Nasional Parlimen Pasir Gudang
20hb September 2015

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top