Atas usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri Johor bersama Johor Corporation, seramai 24,321 pemegang unit Dana Johor yang menanggung beban akibat kerugian Dana Johor akhirnya telah diselesaikan melalui pelancaran Skim Penambahbaikan Harga Dana Johor RM1.00/seunit (SDJ1) peringkat ke-4 dan merupakan peringkat yang terakhir.
Selepas 3 kali siri pelunasan yang telah disempurnakan sebelum ini, hari ini penebusan peringkat ke-4 dan yang terakhir dapat direalisasikan. Kos yang ditanggung oleh Johor Corporation untuk penyelesaian ke-4 ini adalah sebanyak RM49.43 juta menjadikan keseluruhan kos yang ditanggung adalah sebanyak RM303.46 juta.
Terdapat sedikit kelainan dalam penambahbaikan peringkat keempat ini yang saya kira lebih baik dan bermanfaat. Kesemua pemegang unit amanah akan dibayar secara ex-gratia dalam bentuk saham pelaburan amanah hartanah (REIT) milik Johor Corporation sendiri iaitu Al-Salam REIT.
Al-Salam REIT telah dilancarkan prospektusnya Jumaat lalu (4 September 2015) dan bakal disenaraikan di papa utama Bursa Malaysia pada 29 September 2015. Sementara bagi pembayaran nilai aset bersih pula, kesemuanya akan dibayar secara tunai menggunakan cek seperti mengikut garis panduan dana unit amanah dan surat ikatan SDJ.
Langkah penyelesaian ini diambil adalah atas dasar prihatin dan kebertanggungjawaban pihak Kerajaan Negeri Johor dan Johor Corporation kepada kesemua pemegang unit amanah Dana Johor yang mengalami penurunan nilai akibat kemelesatan ekonomi yang melanda negara.
Sebagai makluman, bukanlah menjadi suatu kemestian kepada mana-mana pihak terutamanya pihak Kerajaan Negeri untuk melaksanakan langkah-langkah penyelesaian kepada mana-mana pemegang unit amanah yang mengalami masalah atau kerugian disebabkan oleh faktor luar jangka.
Kepada para pemegang unit, saya juga berterima kasih kepada anda semua atas kepercayaan dan kesetiaan anda kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan hak dan kepentingan anda sentiasa dipelihara.
Mohamed Khaled Nordin