JOHOR BAHRU – Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor hari ini menyokong penuh tindakan pihak polis tidak membenarkan Perhimpunan Rakyat Bersatu (Himpunan Baju Merah) diadakan di kawasan Bukit Bintang dan di Jalan Petaling yang dijadualkan pada 16 September ini.
Setiausahanya, Md Jais Sarday berkata, sebagai masyarakat yang bertamadun, kita mengecam dan tidak bersetuju apapun bentuk perhimpunan jalanan kerana sekiranya tidak dapat dikawal, ia akan menjadi tempat untuk menjerit-jerit serta menunjukkan aksi-aksi tertentu.
“Apa guna perhimpunan untuk menunjukkan kekuatan dan perpaduan orang Melayu selepas BERSIH 4.0 yang disertai majoritinya oleh orang Cina.
Perhimpunan ini tidak akan melahirkan apa-apa resolusi yang konprehensif untuk menyatu-padukan orang melayu apatah lagi memajukan bangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, semangat yang kuat tanpa hala tuju mungkin akan menyebabkan keadaan yang tidak menentu, merosakkan harta awam, kekotoran sampah sarap dan menyusahkan orang lain khususnya para peniaga.
“Apatah lagi, jika himpunan jalanan ini hendak melibatkan UMNO. Ingatlah, sejarah perjuangan bangsa melayu sehingga tertubuhnya UMNO dan kita Merdeka, perjuangan kita bukanlah berasaskan himpunan jalanan,” tambahnya.
UMNO sendiri lahir dalam keadaan yang mulia di istana, selaras dengan semangat perjuangan bangsa.
“Sekiranya kita benar-benar cintakan perpaduan bangsa, saya mencadangkan supaya perhimpunan itu diadakan dengan cara yang lebih beradab dan bermaruah.
Adakanlah himpunan Melayu yang lebih tertib di setiap negeri sepertimana Himpunan Melayu Johor satu ketika dulu. Lontarkanlah pandangan dan pendapat yang bernas, apakah langkah-langkah untuk kita memperkukuhkan perpaduan Melayu.
Saya yakin, semua orang Melayu mempunyai semangat yang sama dan ingin menyuarakan isi hati mereka,” tambahnya yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Johor.
Sumber: http://jauhar.my/?p=5757