Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Mohamed Khaled bin Nordin telah melakukan tinjauan ke Empangan Sg. Layang, Masai pada pagi ini, 24 Ogos 2015 untuk meninjau paras air di empangan tersebut. Beliau turut membincangkan usaha-usaha untuk meningkatkan paras air demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat di Pasir Gudang.
Paras air di empangan tersebut kini berada di bawah paras kritikal 23.5 meter berbanding paras normal iaitu 26.6meter. Manakala paras semasa sewaktu lawatan ini adalah 19.11 meter. Hal ini berlaku kerana keadaan cuaca yang kering dan kadar hujan yang rendah serta kadar sejatan yang tinggi. Keadaan cuaca kering ini juga dilihat telah berlaku sejak 2 tahun kebelakangan ini.
Oleh yang demikian, bagi memastikan paras air di Empangan Sungai Layang dapat dikekalkan pada satu tahap, beberapa langkah sedang diambil oleh pihak terbabit. Antaranya ialah dengan mengepam masuk bekalan air mentah dari Sungai Johor setiap hari. Di samping itu, jika keadaan ini terus berlarutan, langkah pembenihan awan akan dilaksanakan.
Diharapkan agar semua pihak dapat bersabar dalam menghadapi situasi ini.
Salam Muafakat Johor.