Penangguhan Pemilihan demi Rakyat dan Perkukuh Parti: MB

JOHOR BAHRU: “Demi keutamaan perkhidmatan untuk rakyat dan memperkukuhkan parti,” demikian tegas Menteri Besar Dato’ Mohamed Khaled Nordin, ketika mengulas keputusan penangguhan pemilihan Umno yang dijadualkan tahun depan, kepada tempoh 18 bulan lagi.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor itu berkata keputusan yang diambil Majlis Tertinggi (MT) itu adalah untuk memberi tumpuan penuh kepada persediaan berdepan dengan pilihan raya akan datang.
Mohamed Khaled berkata cabaran-cabaran yang dihadapi Umno setiap kali diadakan pemilihan akan memberi kesan kepada para ahlinya.
“Ia adalah sesuatu yang tidak boleh dibiarkan, lebih-lebih lagi jentera parti perlu bersedia untuk berhadapan dengan pilihanraya.
“Untuk parti berjaya, ia perlu lebih kuat dan untuk kuat, ia perlu bersatu padu dan kami perlu elak keadaan parti boleh berpecah,” kata beliau.
Beliau juga berharap supaya semua ahli Umno di Johor, menyokong dan menerima keputusan MT untuk menangguhkan pemilihan parti.  
Sementara itu, mengulas mengenai keputusan Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Datuk Khairul Anwar Rahmat melepaskan semua jawatannya dalam UMNO, beliau berkata ia sebagai tindakan peribadi dan perlu dihormati.
“Mungkin dia ada sebab mengapa dia lakukan begitu, tetapi saya percaya ia mungkin hal-hal peribadi,” katanya.
Terdahulu, Mohamed Khaled menyampaikan sumbangan kepada lima penerima asnaf zakat di Kampung Melayu Pandan dekat sini. Sumbangan berupa wang tunai RM600 serta hamper barangan keperluan itu disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Johor, Umno Johor serta sumbangan orang persendirian.
Sumber: Jauhar
Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top