Pelan Suara Hati Johor Tumpu Tujuh Fokus Utama Tangani Permasalahan Rakyat

JOHOR BAHARU, 31 Mei : Pelan Suara Hati Johor yang dilancarkan hari ini, dilihat sebagai pemacu transformasi pentadbiran kerajaan negeri selaras dengan usahanya menangani segala permasalahan rakyat masa kini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata pelan itu merupakan satu pelan pencapaian yang berlandaskan permantauan, ukuran dan berstrategi bagi menangani tuntutan semasa rakyat sekaligus menjurus ke arah pembangunan negeri yang mapan.

Beliau berkata pelan itu yang akan dilaksanakan secara berterusan sehingga tahun 2018, turut menggariskan tujuh fokus utama.

Tujuh fokus itu adalah meningkatkan tahap keselamatan, menyediakan perumahan mampu milik, menangani kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat, menyediakan kemudahan awam dan infrastruktur, memartabatkan agama Islam, menyediakan perkhidmatan kesihatan yang cekap dan meningkatkan tahap ekonomi dan pembangunan usahawan.

“Kita buka ruang untuk rakyat Johor menyatakan apa yang mereka perlukan. Kita perhalusi setiap cadangan dengan tekun. Kita bincang bagaimana sesuatu itu boleh dilaksanakan dalam konteks pembangunan mengikut acuan kita,” katanya ketika melancarkan pelan itu di Nusajaya, dekat sini hari ini.

Bagi memastikan tujuh fokus itu akan dicapai, YAB, berkata setiap exco yang bertanggungjawab diberikan petunjuk prestasi tahunan sebagai sasaran untuk dicapai.

Mereka kemudiannya akan dipantau dan diukur prestasi masing-masing menggunakan indeks dikenali sebagai Indeks Penilaian Prestasi (INPRES) oleh badan bebas yang dilantik, katanya pada sidang media selepas pelancaran pelan itu.

Beliau berkata budaya dipacu prestasi akan terus menjadi budaya baru dalam pentadbiran kerajaan negeri dengan semua projek dan program mempunyai sasaran yang boleh diukur.

Pelan Suara Hati Johor merupakan kesinambungan Kajian Suara Hati Johor yang telah dijalankan dari 17 Jun hingga 24 Julai tahun lepas, bagi mendapatkan maklum balas permasalahan pembangunan rakyat di negeri itu.

Pelan Suara Hati Johor

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top