NUSAJAYA 9 Jan : Johor mampu menjadi hab utama pengeluaran coklat di negara ini berikutan kira-kira 85 peratus pemprosesan produk ini dihasilkan di negeri ini.
Menteri Besar Johor, YAB. Dato’ Mohamed Khaled bin Nordin berkata, perkara tersebut tidak mustahil dicapai berikutan terdapat beberapa pelabur dari luar negara dan tempatan yang menunjukkan minat dalam bidang tersebut.
Beliau berkata, sebelum ini syarikat coklat terkenal, Hershey telah menyatakan persetujuan untuk melabur di negeri ini bagi menghasilkan produk berasaskan coklat.
Menurutnya, kerajaan negeri juga telah mendapat maklum balas yang baik apabila sebuah lagi syarikat luar negara menyatakan hasratnya untuk melabur dalam bidang tersebut pada tahun ini.
“Saya yakin terhadap minat yang ditunjukkan oleh para pelabur asing untuk melabur di negeri ini khususnya dalam industri coklat kerana kita mempunyai banyak kemudahan, insentif serta persekitaran yang kondusif mendorong mereka melabur di negeri ini khususnya di Iskandar Malaysia.
“Keadaan ini ditambah dengan kewujudan Guan Chong Berhad (GCB) iaitu pengeluar pemrosesan koko keempat terbesar dunia yang meyakinkan pemain industri koko untuk melabur di negeri ini,” katanya selepas merasmikan kilang kedua GCB di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Tee Siew Keong; Pengerusi GCB, Datuk Dr. Mohamad Musa Md. Jamil dan Pengurus Besar GCB, Brandon Tay.
Kilang pemrosesan koko milik GCB bernilai RM55 juta itu merupakan yang kedua selepas kilang serupa di Pelabuhan Johor, Pasir Gudang.
YAB berkata, bagi memastikan industri koko di negeri ini terus berkembang, kerajaan turut menggalakkan masyarakat menanam tanaman berkenaan bagi menampung import koko.
“Kita menyasarkan pada tahun 2020 sekurang-kurangnya 40 hektar tanaman koko dapat ditanam di negeri ini berbanding hanya 21 hektar sekarang.
“Negeri ini juga dijangka menjadi hab pengeluar coklat dengan mempunyai kilang yang mampu memproses kapasiti 360, 000 tan metrik koko setahun dengan anggaran perolehan RM4 juta menjelang 2020,” katanya.