PUTRAJAYA 9 Dis. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta agar pesara-pesara membantu kerajaan menerangkan pelbagai isu termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada rakyat.
Peranan yang dimainkan oleh pesara-pesara kerajaan tersebut kata Najib mampu menjadikan Malaysia sebuah negara Islam yang moden dan progresif serta mencapai kemuncak kegemilangan negara berpendapatan tinggi dalam beberapa tahun lagi.
“Nak sampai ke situ banyak cabaran yang perlu diterangkan kepada rakyat. Misalnya kita nak laksana GST, kita sembahyang di masjid, surau kita kena kutuk. Tuan-tuan angguk sahaja kerana lebih mudah mengiyakan daripada kita membetulkan apa yang dikatakan oleh mereka.
“Kalau begitu kita tidak mainkan peranan kita sebagai pemimpin yang mempunyai nilai keintelektualan dan integriti. Kalau benda itu baik untuk masa depan negara tolong beritahu rakyat,” kata Najib pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Dengan Pesara Kanan Kerajaan anjuran Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan di sini hari ini.
Najib berkata, pesara-pesara kerajaan merupakan bekas kakitangan yang cukup berpengalaman dalam bidang masing-masing yang mengetahui kenapa kewangan negara perlu diperkukuhkan.
“Untuk apa? Supaya ekonomi kita kuat. Bila ekonomi kuat kita boleh menolong rakyat dengan lebih mudah lagi pada masa akan datang termasuk perkhidmatan awam dan pesara-pesara kerajaan,” tegas Najib.
“Saya tak pernah kata tanpa GST boleh membankrapkan negara. Saya kata kalau kita belanja, belanja, belanja tak kutip cukai, pinjaman bertambah-tambah, kita boleh jadi macam negara Greece, bankrap.
“Kenapa GST perlu? Bila kewangan kita kuat, kita boleh menjadi negara berpendapatan tinggi. Intelektual tuan-tuqn diperlukan untuk menjelaskan perkara ini kepada rakyat,” tegas Najib. – ehsan UTUSAN ONLINE