Agenda Pemerkasaan Usahawan Perlu Dijayakan Semua Pihak

PASIR GUDANG, 21 Ogos – Kerajaan Johor mahu agenda pemerkasaan usahawan di negeri ini dilakukan secara berterusan dan dijayakan oleh semua pihak.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata agenda itu perlu dilaksanakan dan bukan hanya sekadar menjadi hasrat dan harapan terutamanya kepada golongan muda di negeri ini.

“Kerajaan Negeri tidak mahu ia menjadi hasrat dan harapan tetapi mahu melihat ianya benar-benar dapat diterjemahkan. Untuk diterjemahkannya pula bukan semata-mata daripada Kerajaan Negeri tetapi ia perlu kerjasama semua pihak.

“Kita mahu supaya soal menggalakkan rakyat Johor menjadi usahawan ini menjadi satu agenda yang besar dan berpanjangan,” katanya ketika berucap melancarkan UpTown PG di sini, malam tadi.

Menurut Mohamed Khaled, antara faktor utama yang mendorong agenda pemerkasaan usahawan di Johor ialah nilai dan sikap yang ada pada seseorang usahawan mampu menjadikan negeri dan negara berdaya saing.

Katanya, mereka yang berkecimpung dalam bidang keusahawanan mempunyai nilai-nilai yang sememangnya diharapkan untuk menjadikan ia budaya masyarakat Johor.

“Kita tahu antara nilai yang dimiliki usahawan ialah mereka mempunyai pemikiran yang kreatif dan inovatif dan merupakan masyarakat yang kuat bekerja, tidak kalah dengan persaingan dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, jika rakyat Johor memiliki nilai-nilai seperti seorang usahawan, sudah pasti mereka dapat menyumbang kepada kemajuan Johor.

“Alangkah baiknya jika Johor memiliki rakyat yang semuanya mempunyai nilai-nilai sedemikian. Rakyat yang bekerja kuat, tidak bergantung kepada sesiapa sebaliknya mereka mampu mengupayakan diri. Rakyat yang tidak mahu mengaku kalah dalam apa sahaja yang mereka lakukan dan rakyat yang mempunyai cita-cita besar untuk berjaya,” jelasnya.

Justeru katanya, Kerajaan Negeri mahu Johor memiliki lebih ramai rakyat yang berkecimpung dalam bidang keusahawanan, sekaligus membolehkan mereka menyumbang kepada kebolehsaingan Johor dan Malaysia di peringkat global.

UpTown PG yang mula beroperasi awal Julai lalu mampu menempatkan kira-kira 60 tapak perniagaan bagi memberi ruang dan peluang kepada penduduk sekitar kawasan itu menambah pendapatan melalui aktiviti perniagaan.

Ia dibuka setiap hari bermula pukul 6.00 petang hingga 2.00 pagi, dengan menawarkan jualan pelbagai jenis barangan termasuk barangan antik, pakaian, makanan dan minuman.

Hadir sama pada majlis itu ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Hasrin Kamal Hashim.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top