KUALA LUMPUR, 17 Mei – Jemaah Menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata ia turut melibatkan cadangan memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia
Gambar Kosmo Digital
Kerajaan menghormati, memperakui dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Feb 2023 yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
“Kerajaan akan senantiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan yang mengejutkan dengan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penganut agama Kristian untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka untuk tujuan pembelajaran.
Pada 15 Mei lalu, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia telah mengajukan notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman mereka. Notis tersebut difailkan oleh Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan pada 18 April sebelumnya.