Petikan ucapan YAB Menteri Besar Johor, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh 2017.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam Muafakat Johor dan Salam Negaraku Malaysia,

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi
Pemangku Timbalan Presiden UMNO Malaysia merangkap
Timbalan Perdana Menteri Malaysia

Yang Berhormat Datuk Md Jais bin Sarday
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor

Yang Berhormat Tuan Haji Ismail Mohamed
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh

Ketua-Ketua UMNO Bahagian dalam Negeri Johor yang turut hadir

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor

Yang Berbahagia Ahli-ahli Jawatankuasa, Ketua-ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh

Pimpinan parti-parti komponen Barisan Nasional,

Dif-dif jemputan dan seterusnya para perwakilan yang saya hormati sekalian;

1. Marilah kita mengambil kesempatan yang baik ini, untuk mengalu-alukan kehadiran YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pemangku Timbalan Presiden UMNO ke Pagoh hari ini.

2. Dato’ Seri Zahid adalah sahabat sebenar UMNO Johor. Sahabat yang sangat akrab dengan kita. Sahabat yang senantiasa berkunjung, bukan setakat bertanya khabar. Tetapi sangat mengambil berat tentang Johor dan masyarakatnya.

3. Dan sahabat yang senantiasa membantu Johor. Dalam pelbagai kedudukan politiknya, Dato’ Seri Zahid senantiasa sedia menghulurkan segala macam bantuan kepada kita di Johor saat kita memerlukan.

4. Maka saya pasti kita sangat berbesar hati dengan kehadiran beliau ke Pagoh pada hari ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

5. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Pemangku Ketua Bahagian Pagoh kerana berani menjemput Dato’ Seri Zahid Hamidi.

6. Keputusan ini sangat besar dampaknya. Bukan sesuatu yang mudah dilakukan. Kerana jemputan dan kehadiran Dato’ Seri Pemangku Timbalan Presiden pasti akan menimbulkan nostalgianya tersendiri.

7. Ia mengingatkan kita tentang bekas Timbalan Presiden yang pernah mengetuai Pagoh suatu ketika dahulu.

8. Dahulu, Timbalan Presiden UMNO orang Pagoh. Mengetuai Bahagian Pagoh. Sekarang Pemangku Timbalan Presiden dari Bagan Datoh. Hadir ke Pagoh untuk meneruskan kelangsungan UMNO di Pagoh.

9. Ada kalanya, untuk sesetengah kita, masih sukar untuk membiasakan diri dengan hakikat ini. Bahawa kita tidak lagi ada Timbalan Presiden UMNO sebagai Ketua Bahagian Pagoh.

10. Tapi inilah lumrah dunia. Lumrah politik. Inilah ketentuan yang Allah SWT hitungkan untuk kita.

11. Keadaan telah berubah. Dan kita semua menjadi saksi perubahan ini.

12. Dalam perjuangan, ada pasang surutnya. Ada gelora dan badainya. Ada timbal balasnya. Namun inilah adat hidup. Gelap pasti akan berlalu. Panas pasti ada redupnya.

13. Dan inilah juga yang kita saksikan di Pagoh pada hari ini.

14. Namun, kita harus bersyukur dan berbangga. UMNO Pagoh, terus berfungsi dengan baik. UMNO Pagoh tidak lagi menoleh ke belakang.

15. Dan Alhamdulillah, Dato’ Seri boleh menyaksikan sendiri, Pagoh kini berada dalam keadaan yang sangat tenteram. Gelora dan badai yang melanda Pagoh sebelum ini telah lama berlalu pergi.

16. Sekarang, yang kita nikmati, adalah hembusan angin yang sangat damai dan menenteramkan.

17. Pagoh telah kembali menjadi sedia kala. Kembali teguh bersatu. Kembali istiqamah pada perjuangan. Kembali bersetia dan ikhlas untuk memajukan bangsa bersama UMNO.

18. Inilah semangat Pagoh. Semangat sebenar pendiri UMNO, yang mengabdikan segala hidupnya untuk perjuangan demi kebaikan agama dan bangsa.

19. Tidak meninggalkan jalan yang telah dipilih. Tidak melupakan parti yang telah menjadi sebahagian dari kita semua.

20. Semangat Pagoh ini harus diteladani oleh UMNO di seluruh negara. Kerana UMNO Pagoh sangat bijaksana, strategik dan matang dalam menangani krisis.

21. Pagoh tahu keutamaan mereka. Pagoh tidak mudah dihanyutkan oleh isu. Pagoh bukan Bahagian yang merajuk-rajuk panjang dan mengamuk membuta tuli. Sehingga lupa perkara asas. Sehingga lupa tugas hakiki. Sehingga meninggalkan tanggungjawab.

22. Sebaliknya, UMNO Pagoh tahu, dalam perjuangan, kesetiaan pada perjuangan itu mutlak. Ia tidak boleh dikompromi. Ia tidak boleh dijual beli. Ia tidak seharusnya ditukar ganti.

23. Maka UMNO Pagoh membuat keputusan paling sukar, namun tepat. Iaitu untuk kekal setia dengan parti.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

24. Benar, bagi sesetengah kita, sangat terasa lainnya bila tiada Tan Sri Muhyiddin. Kami di Johor semua merasainya juga.

25. Malah dalam ucapan saya tahun lepas, saya tidak pernah berselindung dengan perasaan kita di Johor terhadap Tan Sri Muhyiddin. Hormat kita atas jasanya tidak sama sekali akan terkurang. Tidak akan sama sekali susut.

26. Tetapi membelakangkan UMNO tidak sekali. Meninggalkan bahtera bangsa ini, pantang berlaku.

27. Dan inilah yang menjadikan Pagoh lain dari yang lain. Lain dari kebiasaan.

28. Kita rasional. Kita tidak terbawa dengan perkara yang sentimental. Kita teguh dengan perjuangan.

29. Dan anda semua telah mengutamakan parti dari seorang individu. Tanpa sedikit pun melupakan jasa individu itu.

30. Pagoh telah melakukan tindakan paling terhormat. Paling mulia. Paling harus diteladani. Inilah cara Johor.

31. UMNO Johor juga sangat beruntung kerana gelora di Pagoh dahulu tidak melarat dan membawa kepada keretakan UMNO Johor.

32. Krisis yang melanda Pagoh tidak merebak. Ia hanya sementara, dan ia telah reda.

33. Kita tidak melihat berulangnya kelumpuhan seperti UMNO di Permatang Pauh 20 tahun dahulu.

34. Kita tidak melihat ahli parti meninggalkan UMNO secara besar-besaran sehingga kita kehilangan sokongan Melayu yang sangat besar dalam pilihanraya umum 1998.

35. Semua ini berlaku kerana pemikiran ahli UMNO Pagoh. Yang tidak terburu-buru. Yang tidak mengikutkan perasaan. Sekalipun dalam waktu krisis.

36. Malah bukan sahaja UMNO terus teguh, kesatuan Melayu Johor juga terus kekal kuat.

Perwakilan yang sangat saya hormati,

37. Sekarang ini, kita mesti beralih fasa. Kita tidak lagi boleh terbelenggu dengan nostalgia.

38. Kita mesti merencanakan kemenangan untuk Pagoh. Dan kita mesti memang kerana ramai sekali yang beranggapan bahawa Pagoh berhadapan cabaran besar untuk UMNO dalam pilihanraya akan datang.

39. Bagi saya cabaran dalam politik itu adalah lumrah dan akan sentiasa hadir. Masakan ada perjuangan tanpa cabaran. Masakan ada samudera tanpa gelora. Masakan Malaysia yang moden ini tidak mempunyai pancaroba.

40. Tanpa semua itu, maka tidak adalah perjuangan.

41. Dan kerana kita ada perjuanganlah, kita bertemu pada hari ini. Merencana bagaimana parti harus bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Tuan-tuan dan puan-puan,

42. Dalam pilihan raya akan datang, pilihan kita hanya satu, iaitu kemenangan yang besar. Kerana tanpa kemenangan, perjuangan kita akan terkandas. Kita tidak boleh tewas.

43. PERTAMA, jika kita tewas, agenda kita untuk bangsa dan agama akan mengalami kekurangan dan kelemahan, kerana kita sudah tidak lagi mempunyai kuasa untuk membuat dasar dan menetapkan agenda.

44. Dan ini bukanlah sesuatu yang baik untuk bahagian yang sedang rancak membangun seperti Pagoh.

45. Kita telah memulakan banyak perkara besar di sini. Kita mesti berupaya untuk menerus dan menyempurnakannya.

46. Masih banyak perkara yang harus kita capai. Masih banyak yang ingin kita angkat. Ada benda yang ingin kita perbaiki.

47. Kemenangan Pagoh bukan sahaja akan meningkatkan keyakinan kita sebagai sebuah parti yang berprinsip. Tetapi akan memulihkan pengaruh UMNO sebagai wadah perjuangan Melayu Islam yang paling dominan dalam Malaysia moden.

48. Jadi, fokuskanlah usaha dan tenaga yang ada sekarang untuk PRU yang akan tiba tidak lama lagi. Kita ada kurang dari 6 bulan. Dan percayalah, ini sebenarnya adalah suatu tempoh yang singkat.

49. Dalam pilihan raya nanti, kita mesti memang besar. Rekod yang lepas mesti kita baiki.

50. Namun, kita tidak hanya boleh mengimpikan untuk mengulang dan menambah baik rekod lalu, tanpa melihat secara terbuka dan matang segala cabaran yang ada hari ini.

51. Cabaran-cabaran yang jika dibiarkan akan menjadi lebih besar dan rumit.

52. KEDUA, kemenangan besar kita di Pagoh akan menterjemahkan kemenangan besar di peringkat negeri dan negara.

53. Johor mesti memang dengan majoriti dua pertiga. Dan Kerajaan Persekutuan mesti dibentuk dengan majoriti dua pertiga.

54. Tanpa semua ini kita tidak akan dapat menjadi kerajaan yang kuat dan efektif. Kita tidak boleh terus mentadbir dalam keadaan kita berkuasa tetapi sangat terbatas.

55. Terbatas untuk meminda perlembagaan. Terbatas dalam memperkenalkan dasar dan peraturan baru. Terbatas dalam mengambil apa-apa pendekatan yang memerlukan sokongan dan undian majoriti.

56. Justeru itu, saya menyeru semua ahli parti. Bekerjalah untuk kemenangan ini. Bekerjalah dengan bersungguh-sungguh.

57. Bekerjalah kerana kita tidak ada pilihan lain. UMNO yang kecundang adalah musibah untuk Melayu.

58. UMNO yang lemah adalah gerhana kepada masa depan Islam dan dasar yang kita perjuangkan selama ini.

59. Kita tidak boleh bermimpi mengharapkan orang seperti DAP untuk bersimpati dengan bangsa kita. Tidak wujud sedikit pun keprihatinan mereka kepada kita. Tidak sedikit pun ada rasa sensitif terhadap agama kita.

60. Yang jelas, mereka mahukan Johor ini menjadi semakin liberal. Biar semuanya bebas. Politik, ekonomi, sosial serta gaya hidup mesti dipisahkan dari perjuangan budaya bangsa dan pegangan agama.

61. Pada mereka, ekonomi hanyalah tentang wang ringgit. Pembangunan hanyalah tentang bangunan tinggi. Segala-galanya hanyalah tentang kepuasan dan keseronokan hidup yang bersifat duniawi.

62. Sedangkan, Johor kini sedang mencipta hala tujunya tersendiri. Kita mahu jadi masyarakat yang seimbang. Yang moden tetapi Islami. Yang maju tetapi berbudaya. Yang baik ekonominya, tetapi sejahtera kualiti hidupnya.

63. Kita tidak mahu menjadi Pulau Pinang Kedua. Dan Johor takkan menjadi Pulau Pinang Kedua. Yang kehidupannya dihambat dengan pemikiran liberal yang menghilangkan identiti bangsa dan agama.

64. Jadi, kita tidak akan pelik mengapa sejak akhir-akhir ini, DAP dan konco-konconya semakin rancak menyerang kita.

65. Kerana, mereka melihat Johor sebagai sebuah negeri yang cuba mengelak dari menerima tempias pemikiran dan agenda mereka.

66. Mereka mahu perkenal Dasar baharu yang kononnya penting dan perlu. Kerana negara kita sudah rosak, sudah muflis, sudah tidak boleh berfungsi lagi.

67. Sehinggakan satu-satunya jalan keluar adalah dengan mengubah Kerajaan, dengan mengubah kuasa politik orang Melayu dan dengan mengubah apa-apa sahaja perjuangan yang cuba mengangkat.

68. Pada mereka, orang Melayu gagal mentadbir negara ini dengan baik. Orang Islam tidak mempunyai kemodenan pemikiran dan keupayaan menguruskan ekonomi.

69. Hanya mereka yang tahu apa yang betul. Hanya mereka yang boleh selamatkan Malaysia.

70. Tetapi mereka lupa. Ketika Johor dan bumi bernama Malaysia ini berada dalam keadaan menyedihkan, kuasa politik orang Melayu Islamlah yang mengubah segala-galanya.

71. Dari sebuah negara yang dijangkakan akan gagal oleh penjajah, kita kini menjadi pesaing besar kepada mereka sendiri dalam pelbagai perkara.

Tuan-tuan dan puan-puan,

72. Saya akuinya dengan hati yang terbuka. Betapa kehidupan dan keadaan masyarakat kita tidak sempurna. Banyak yang boleh dan perlu ditambah baik.

73. Tetapi adakah masyarakat kita lumpuh? Adakah kita benar-benar menderita dan mengemis di negeri sendiri? Kita mesti menilai semua ini dengan adil.

74. Lihat di sekeliling kita. Hospital kita berfungsi dengan sistem kesihatan paling komprehensif dan inklusif di dunia. Malah, kadar perubatan di negara ini adalah sangat rendah sehinggakan tidak dapat diterima akal oleh orang dari negara luar.

75. Kadar buta huruf kita sifar. Kadar kemiskinan kita menghampiri angka sifar. Kadar kesenjangan antara bandar dan luar bandar menyusut. Keyakinan pelabur terhadap Malaysia terus mendahului negara membangun yang lain.

76. Setiap malam, rakyat Malaysia tidak tidur berlapar atau dalam ketakutan.

77. Kita berpeluang menjadi penganut agama yang bebas tanpa risaukan ancaman. Kita berpeluang bersolat dan beramal ibadah dengan aman dan damai.

78. Kita boleh berkunjung ke kampung halaman melalui rangkaian jalan raya terbaik dunia. Kebanyakan aspek kehidupan kita berada dalam keadaan yang sangat baik.

79. Lalu saya tidak faham kenapa, di sebalik semua ini, kita melihat menukar Kerajaan sebagai satu keperluan.

80. Terutamanya apabila Kerajaan sedia ada membuka ruang seluas-luasnya untuk kita menyuarakan pendapat. Sepatutnya, kita gunakan platform ini untuk bersuara, untuk memberikan idea, untuk terlibat dengan pembangunan.

81. Kerana, masyarakat yang baik adalah mereka yang bersedia untuk bekerjasama dengan pemerintah untuk membetulkan keadaan dan mengatasi apa-apa kekurangan dalam lingkungan mereka. Bukannya dengan bertindak drastik menukar segala yang ada.

82. Hanya kerana kerajaan ini mempunyai defisitnya, maka segala kebaikan yang dijanakan selama ini, tiba-tiba sudah tidak mempunyai apa-apa makna?

83. Ini adalah saranan yang dangkal, yang anti akal. Anti kemajuan. Anti rasional.

84. DAP akan kekal sebagai DAP. Mereka tidak akan tunduk pada kemahuan dan keperluan orang Melayu dan kepentingan Islam.

85. BERSATU akan terus menjadi boneka dan jurucakap DAP untuk menjual harapan. PAN dan PKR hanyalah parti tumpangan yang kini menunggang populariti parti lain.

86. Mereka ini semua adalah sekumpulan penjaring kuasa yang sedang terdesak. Dan orang yang terdesak amat berbahaya kepada negeri yang sedang maju seperti Johor.

87. Jadi, kita mesti bergerak ke hadapan. Kita mesti mula bekerja keras menepis pengaruh mereka. Dan untuk melakukan perkara ini, kita mesti bekerja bersama-sama.

88. Saya harap, dalam menjayakan perkara ini, YAB Dato’ Seri Zahid akan dapat turut memberikan nasihat dan pandangan beliau kepada kita semua di Pagoh dan di Johor ini.

89. Sebelum berakhir, saya mengucapkan terima kasih atas jemputan ini. Dan saya juga mewakili UMNO Johor, berterima kasih kepada YAB Dato’ Seri atas kehadiran dan kesudian untuk berada di sini.

Sekian, Wabillahhitaufik walhidayah, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Terima kasih.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top